PN teliti kerjasama dengan Pejuang

MUAR 14 Okt. – Perikatan Nasional (PN) akan meneliti kerjasama dengan parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Pengerusinya, Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pihaknya akan berbincang dalam Majlis Tertinggi (MT) PN untuk mendapatkan panduan dan diperhalusi dengan terperinci dengan mengambil kira suara semua parti komponen.

“Sehingga hari ini PN tidak membuat apa-apa lagi keputusan mengenai perkara berkenaan. Ini kerana kita mahu menilai terlebih dulu dan parti dalam PN masing-masing ada pengalaman tersendiri,” katanya selepas Program Solat Jumaat dan Kenduri Rakyat di Masjid Jamek Panchor Muar dekat sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, PN mahu meneliti sama ada kerjasama dengan Pejuang akan memberi nilai tambah dan menguntungkan kedua-dua pihak atau sebaliknya.

“Jangan menguntungkan satu pihak saja dan pandangan pengundi juga perlu diambil kira.

“Saya tidak tahu orang Panchor sini suka atau tidak. Jika kita buat sesuatu yang tidak disukai, ia mungkin menyebabkan sokongan yang tinggi akan merosot, jadi ia perlu diteliti,” katanya.

Related posts

Leave a Comment