KUIS kini Universiti Islam Antarabangsa Selangor

SHAH ALAM : Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di Bandar Seri Putra dinaik taraf sebagai Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata naik taraf itu membuktikan universiti itu setanding dengan institusi pengajian tinggi lain.
Sambil mengucapkan tahniah, MAIS berharap, UIS akan sentiasa mengekalkan momentum kecemerlangan sebagai sebuah institusi pengajian tinggi dan memaksimumkan penghasilan pelajar cemerlang serta berkualiti dalam bidang profesional dan hebat di sisi agama.

“UIS perlu sentiasa mengorak langkah komprehensif serta mengambil peluang agar dapat membuktikan pengalaman 27 tahun mengelola pengajian tinggi ini akan merealisasikan kejayaan apabila menjadi sebuah universiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Aziz juga meminta ibu bapa dan pelajar memilih UIS sebagai institusi pilihan utama untuk melanjutkan pengajian yang berteraskan syariah Islamiah.

Sementara itu, semalam Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar bagi mempersembahkan watikah rasmi naik taraf KUIS sebagai UIS.

Turut hadir dalam sesi menghadap itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim; Abdul Aziz; Anggota MAIS, Datuk Salehuddin Saidin; Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar.

UIS adalah sebuah institusi pengajian tinggi Islam milik penuh MAIS yang ditubuhkan pada 15 Februari 1995 di bawah akta IPTS 1996.

Institusi itu menawarkan pelbagai bidang pengajian di peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah yang telah memenuhi perakuan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) merentasi pelbagai disiplin ilmu termasuk pengajian Islam, pengajian perniagaan, perbankan Islam, pendidikan, komunikasi, dan teknologi maklumat yang berdaya saing dan kompetitif.

Related posts

Leave a Comment