Jaga mata cegah kebutaan

PUTRAJAYA 14 Okt. – Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa masyarakat  memberi perhatian kepada penjagaan kesihatan mata dan pencegahan kebutaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, prevalen atau kelaziman kebutaan dalam populasi negara adalah sebanyak 1.2 peratus.

Katanya, berdasarkan Banci Mata Kebangsaan 2014 antara punca utama kebutaan di Malaysia adalah katarak iaitu sebanyak 58.6 peratus, diabetik retinopati (10.4 peratus) dan glaukoma sejumlah 6.6 peratus.

“Bagaimanapun, hampir 80 peratus penyebab utama kebutaan ini boleh dirawat dan dicegah. Berikutan itu beberapa syor ditekankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kepada masyarakat.

Menurut beliau lagi, masyarakat disaran memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan mata dan pencegahan kebutaan sebagai isu global serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mata dalam kalangan individu, keluarga dan komuniti.

“Selain itu, menyediakan platform bagi mempengaruhi pihak berwajib untuk mengutamakan inisiatif penjagaan kesihatan mata, masyarakat juga perlu membangkitkan keperluan akses kepada perkhidmatan penjagaan mata bagi mencegah kebutaan serta mempromosi aktiviti saringan penglihatan dan kempen pencegahan kebutaan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Penglihatan Sedunia, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, Hari Penglihatan Sedunia pada tahun ini bertemakan ‘Sayangi Mata Anda’ yang menekankan unsur 4P dalam penjagaan kesihatan bagi mengekang berlakunya kebutaan iaitu Prevent (Cegah), Protect (Lindung), Preserve (Pelihara) dan Prioritise (Keutamaan).

Dr Noor Hisham turut mengajak masyarakat untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang dilaksanakan.

“Sayangilah mata anda dengan mengambil langkah pencegahan untuk melindungi dan mengekalkan penglihatan yang baik. Berikan keutamaan dan lakukan pemeriksaan mata secara berkala bagi memastikan kesihatan mata dan penglihatan kekal baik dan membolehkan kita menikmati kehidupan yang lebih bermakna dan berkualiti,” katanya.

Related posts

Leave a Comment