Manifesto BN : Kestabilan dan Kemakmuran

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam ini bersetuju dengan tema utama manifesto bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ialah ‘Kestabilan Dan Kemakmuran’.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, BN komited memastikan kebajikan rakyat diperkasa dan kedaulatan negara terus terpelihara dengan penawaran dasar bersifat pro-rakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi yang mapan dan menyeluruh.

“Dewan Tertinggi bersetuju dengan usaha-usaha untuk mengetengahkan calon baharu yang mempunyai nilai ‘Winnable, Acceptable & Likeable’ (WALI) dan berazam untuk mencapai 30 peratus calon wanita,” katanya dalam kenyataan.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri, Timbalan Pengerusi, Presiden-Presiden Parti Komponen dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Dewan Tertinggi

Dr Zambry juga menjelaskan, rundingan pembahagian kerusi antara parti komponen dan Friends of BN akan dimuktamadkan.

Beliau juga memberitahu, Dewan Tertinggi menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen selaras dengan kuasa-kuasa baginda sebagaimana termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Mesyuarat mengarahkan persiapan semua jentera parti bagi menghadapi PRU-15 di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) komponen BN.

“Dewan Tertinggi juga mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian menjalankan mesyuarat koordinasi gerak kerja jentera bagi menghadapi PRU-15,” katanya.

Related posts

Leave a Comment