Dah ada kuasa tamak apa?

KOTA BHARU: “Siapa tamak kuasa? Orang yang tiada kuasa nak kuasa itulah yang tamak… yang dah ada kuasa tamak apa?,” Begitulah penjelasan Naib Presiden Pas, Mohd Amar Nik Abdullah berhubung kenyataan Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, Ahmad Zahid mungkin tidak memahami maksud tamak kuasa ketika mengeluarkan kenyataan itu kerana sebetulnya, orang yang tiada kuasa itulah yang tamak.

Ahmad Zahid dalam satu kenyataan hari ini mendakwa negeri-negeri yang tidak serentak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai tamakkan kuasa kerana mahu terus kekal mempertahankan kuasa.

Mohd Amar mempersoalkan kenapa UMNO tergesa-gesa mahu mengadakan pilihan raya umum sekarang.

“Kita ini macam kontraklah, kontrak kita habis bulan Mei, kenapa nak resign awal? Bukankah sampai bulan Mei penggal kita? Kenapa tak boleh sabar? Itu isunya,” kata beliau kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli dan rombongannya di pejabatnya, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Amar, beliau tidak nampak kenapa UMNO mahu mengadakan pilihan raya tergesa-gesa sedangkan Perdana Menteri dan sejumlah menteri Kabinet dari parti tersebut selain kerajaan sedia ada stabil.

Bahkan, kata beliau, pembangkang turut memberikan sokongan kepada pentadbiran sedia ada.

Sementara itu, Mohd Amar berkata, hasrat Pas untuk duduk berunding bagi mengukuhkan kembali Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO dilihat gelap apabila Parlimen dibubarkan semalam.

Menurut beliau, harapan itu juga gagal untuk dilaksanakan berikutan kenyataan dari pimpinan UMNO termasuk Ahmad Zahid  dan Naib Presidennya,  Mohamed Khaled Nordin yang dilihat sukar untuk mencari titik persamaan.

Apa lagi, tegas beliau, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga sudah menghampiri membuatkan masa yang ada semakin terhad untuk mengadakan perbincangan.

Related posts

Leave a Comment