KAHERAH – Presiden Donald Trump, menegaskan Amerika Syarikat (AS) dan Iran bersetuju untuk meneruskan rundingan, namun gencatan senjata yang dicapai bersama bulan lalu sudah berakhir.
“Iran meminta kami meneruskan rundingan. Kami bersetuju berbuat demikian, namun AS dengan tegas ingin memberitahu gencatan senjata sudah berakhir!'” kata Trump menerusi hantaran di Truth Social.
AS turut meningkatkan tekanan terhadap Iran supaya menghentikan serangan ke atas kapal di Selat Hormuz, dengan ketegangan yang memuncak ketika ini menyebabkan harga minyak meningkat, isu yang sensitif bagi Trump menjelang pilihan raya Kongres pada November.
Kenyataan itu dibuat selepas seminggu konflik kembali memuncak, susulan tiga kapal tangki komersial Qatar dan Arab Saudi diserang.
Ini mendorong AS melancarkan serangan ke atas beberapa lokasi di Iran, manakala Iran membalas dengan melancarkan serangan terhadap tapak ketenteraan AS di beberapa negara Teluk.
Tiada serangan baharu dilaporkan semalam ketika pengantara serantau berusaha menyelamatkan hubungan diplomatik bagi menamatkan perang yang tercetus pada 28 Februari susulan serangan berpanjangan AS dan Israel ke atas Iran.
Iran mempertikaikan tafsiran Trump itu dengan menyatakan pihaknya tidak meminta rundingan dengan AS sebaliknya bersetuju menerima seorang pengantara dari Qatar di Tehran, lapor televisyen negara itu yang memetik jurucakap Kementerian Luar Iran.
