DAP belum terima notis keluar parti

PADANG BESAR 9 Okt. – DAP belum menerima notis peletakan jawatan atau keluar parti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu, kata Setiausaha Agung, Anthony Loke.

“Setakat ini, saya belum menerima apa-apa notis rasmi daripada beliau, itu hanya teka-teki, desas desus atau khabar angin sahaja setakat ini. Jadi sebelum saya  menerima apa-apa notis rasmi maka tidak ada keperluan untuk saya memberikan komen,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat DAP Perlis yang baru di Jalan Besar, di sini hari ini.

Katanya, jika terjadi perkara berkenaan, maka kerusi Sungai Pelek yang dimenangi Liu itu seharusnya dikosongkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil diadakan.

Seperti yang kita ketahui, apa juga kerusi yang dimenangi adalah atas kapasiti parti secara keseluruhannya dan dalam sejarah DAP, siapa yang keluar parti, ia tidak menjejaskan kerusi itu kerana ia dimenangi atas kapasiti parti.

“Namun, kalau ikut semangat Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan di Parlimen, maka seseorang yang keluar daripada parti dan masuk ke parti lain, dia kena letak jawatan sebagai wakil rakyat kawasan terbabit atau mengosongkan kerusi berkenaan demi semangat Perlembagaan Persekutuan pada waktu ini,” katanya.

Ronnie yang juga Veteran DAP dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat didakwa mahu meninggalkan DAP selepas 40 tahun menjadi ahli dan hasrat penarikan diri itu dikatakan selepas tindakannya mengkritik pindaan perlembagaan DAP yang membenarkan seseorang ahli dipecat kerana tidak mengikut keputusan parti.

Menerusi hantarannya di Facebook pada 26 September lalu, Liu menulis “Tuhan selamatkan DAP,” sebagai mengatakan parti itu tidak lagi demokratik dengan menerima pakai pindaan itu.

Related posts

Leave a Comment