Pengiktirafan kepentingan penjagaan kesihatan.

KUALA LUMPUR7 Okt. –  Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyifatkan peruntukan RM36.139 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pembentangan Bajet 2023 hari ini adalah satu pengiktirafan kepada kepentingan penjagaan kesihatan.

Katanya, peruntukan sebanyak RM31.50 billion untuk perbelanjaan mengurus dan RM4.639 billion untuk belanja pembangunan adalah selari dengan aspirasi kesihatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia sebagai satu keutamaan kerajaan.

Beliau berkata, peruntukan itu adalah pertambahan sebanyak RM3.729 billion atau 11.51 peratus berbanding RM32.4 bilion yang diperuntukkan pada tahun 2022.

“Peruntukan ini antara peningkatan jumlah perbelanjaan terbesar dalam kalangan kementerian jika dibandingkan dengan keseluruhan peruntukan bajet Kerajaan Persekutuan 2023 yang berjumlah RM372.3 bilion iaitu sebanyak 11.05 peratus,” katanya.

Khairy berkata, peningkatan peruntukan itu adalah satu pelaburan yang amat diperlukan bagi memastikan Keluarga Malaysia kekal sihat, mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan seterusnya mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Sebahagian besar peruntukan KKM ini adalah untuk membiayai Program Perubatan yang berjumlah RM11.81 bilion (37.51 peratus) dan untuk Program Kesihatan Awam sebanyak RM5.49 bilion (17.42 peratus).

“Selain itu, sebanyak RM4.9 bilion (15.56 peratus) juga diperuntukkan bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam melalui perolehan bekalan ubat, reagen, vaksin dan bahan guna habis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Bajet 2023 juga menyaksikan perkhidmatan kesihatan diperkukuhkan bagi memastikan kesejahteraan fizikal dan mental seluruh Keluarga Malaysia terjamin dan tidak ada golongan yang ditinggalkan.

Katanya, sebanyak RM34 juta diperuntukkan bagi tujuan penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) untuk mengukuhkan perkhidmatan kesihatan mental.

Peruntukan sejumlah RM25 juta juga disediakan bagi tujuan rawatan Penyakit Jarang Jumpa selain mewujudkan sebuah Akaun Amanah bagi Rawatan Penyakit Jarang Jumpa yang membolehkan semua pihak menyalurkan sumbangan.

Sejumlah RM420 juta diperuntukkan bagi tujuan membaik pulih hospital dan klinik daif serta penggantian peralatan usang. Program pembaikan dan pemulihan fasiliti-fasiliti ini akan segera dilaksanakan di seluruh negara dan keutamaan kepada fasiliti kesihatan di Sabah dan Sarawak.

KKM turut diperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion bagi membina hospital, klinik dan fasiliti baharu, termasuk untuk menyediakan dua buah perkhidmatan CT scan bergerak untuk Sabah dan Sarawak dan pembinaan Makmal Kesihatan Awam Sarawak.

Khairy berkata, antara projek pembinaan fasiliti baharu adalah Hospital Maran; bangunan blok wanita dan kanak-kanak Hospital Melaka; lima buah klinik kesihatan baharu iaitu di Linggi, Sepupuk, Penampang, Bagan Serai dan USJ1.

Katanya, KKM turut bersyukur kerana beberapa permohonan baharu kepada Kerajaan diluluskan dalam Bajet 2023 antaranya adalah seperti bayaran RM500 secara one-off di bawah Skim Cahayamata Keluarga Malaysia untuk ibu B40 yang melahirkan anak pada tahun 2023.

“Ini dijangka dapat memberikan manfaat kepada lebih 200,000 keluarga B40 dalam memastikan kesihatan ibu mengandung dan anak yang bakal dilahirkan dapat menikmati makanan berzat seterusnya usaha mengurangkan masalah bantut.

“Dalam hal ini KKM sangat mengalu-alukan komitmen kerajaan meningkatkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti dalam pengumuman Bajet 2023,” katanya.

Selain itu, katanya, subsidi ujian mamogram dan saringan kanser serviks dengan peruntukan sebanyak RM11 juta akan menggalakkan wanita melakukan saringan awal dan seterusnya rawatan awal dapat diberikan.

Kerajaan juga, katanya, meningkatkan peruntukan dan faedah cukai bagi menggalakkan aktiviti saringan kesihatan termasuklah sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PEKA B40)

Related posts

Leave a Comment