PRU awal: Pembangkang aneh, dangkal

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Pembangkang dan sekutu mereka semakin aneh dan dangkal apabila cuba ‘menolak Pilihan Raya Umum’ (PRU) lebih awal dengan pelbagai alasan termasuk mengaitkan dengan Deepavali, Tahun Baharu Cina, dan Hari Raya.

Presiden UMNO,  Dr.  Ahmad Zahid Hamidi berkata, umpama cuba mengajar itik berenang di kolam, pembangkang lupa bahawa Barisan Nasional (BN) berpengalaman mengatur, mengendali dan tahu masa terbaik untuk pilihan raya.

Katanya, mereka tidak mahu PRU diadakan tahun ini, tetapi pada masa yang sama terus menjelajah berkempen politik di sana dan sini dengan membawa naratif lemah mereka tanpa mengira hujan atau panas, siang dan malam.

“Cubaan demi cubaan menolak pilihan raya oleh pembangkang dan sekutu mereka.

Dapat dirasa ketakutan pembangkang berdepan gelombang penolakan penyokong sendiri. Pembangkang perlu mengekalkan sokongan yang telah hilang akibat konflik pimpinan mereka sendiri dan menyebabkan ahli mereka lari malam,” katanya.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Pengerusi BN itu berkata, ada dalam kalangan pembangkang yang mahu kembali menyertai BN, ada yang tidak mahu berparti akibat trauma dengan PH dan ramai juga penyokong Pejuang dan Bersatu secara diam-diam menyokong BN.

Menurut Ahmad Zahid, naratif lemah pembangkang cuba menyatakan banjir berlaku di seluruh negara sedangkan mereka lupa bahawa PRU, malah pilihan raya negeri pernah diadakan pada bulan November dan Disember.

“Sifat ketakutan pembangkang dan auta mereka semakin terserlah dan menjadi jenaka negara apabila mengabaikan fakta dan hujah mengenai banjir dan pilihan raya.

“Pembangkang cuba bermain politik persepsi seperti PRU 14. Cubaan ini dapat dilihat apabila kecoh di media sosial mendakwa hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini dan akan berlaku banjir besar.

“Namun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah menafikan perkara berkenaan dan menjelaskan bahawa ia kurang tepat,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, pembangkang begitu terdesak, takut berdepan PRU kerana takut dihukum oleh pengundi sendiri yang sedar apabila PH gagal melaksanakan manifesto mereka.

Sebaliknya kata Ahmad Zahid, mereka sibuk berebut jawatan perdana menteri di antara Mahathir dan Anwar hingga mengabaikan kebajikan rakyat.

“Melengahkan pilihan raya adalah cubaan PH untuk membaiki reputasi kegagalan 22 bulan pemerintahan PH dengan rakyat disuruh ikat perut, manifesto bukan kitab suci, elaun sara hidup nelayan dipotong, ICERD cuba diratifikasikan dan sebagainya.

“Belum lagi dengan pendakwaan terpilih. Yang melompat parti dan bersekutu dengan PH tidak pula didakwa. Saya dan teman-teman pimpinan parti dijadikan kambing hitam dalam isu kes wang pembiayaan politik dan derma,” katanya.

Beliau berkata, kedangkalan pembangkang juga terserlah apabila mencetuskan isu kos mengadakan PRU sedangkan realitinya kos itu tidak pernah semakin turun setiap kali pilihan raya diadakan.

Hakikatnya, kerajaan sentiasa prihatin untuk memastikan proses pilihan raya berjalan lancar, memberikan kemudahan kepada semua pihak yang bertanding dan memastikan amalan demokrasi berada dalam tahap terbaik.

Justeru, kerajaan tidak pernah meminta SPR mengikat perut untuk memotong peruntukan kerana menyedari inilah tanggungjawab kerajaan memastikan SPR berjalan lancar dan melaksanakan secara terbaik untuk negara.

Beliau juga sekali lagi menegaskan, setiap tindakan yang diambil UMNO mempunyai proses yang telus, teratur dan  keputusan untuk melaksanakan PRU15 adalah sentiasa berpandukan peraturan dan Perlembagaan Negara.

“UMNO bukan sebuah parti politik nyamuk yang hanya berdenging tanpa hala tuju. UMNO mempunyai tradisi dan sejarah yang panjang serta puluhan tahun berpengalaman dalam pentadbiran dan pemerintahan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment