Bentang cadangan tambahbaik RUU minggu ini

KUALA LUMPUR: Pembentangan cadangan penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 tidak akan dilakukan hari ini, sebaliknya sebelum Khamis ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Ketika membentangkan usul di persidangan Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang memerlukan lebih masa bagi meneliti isu-isu yang menjadi perhatian awam dengan lebih menyeluruh dan mendalam.

Menurut Khairy, selepas penelitian dibuat, barulah RUU itu dirasakan sesuai untuk dibentangkan untuk dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

“Bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undangundang memerlukan lebih masa bagi membolehkan Jawatankuasa ini meneliti isu-isu yang menjadi perhatian awam dengan lebih menyeluruh dan mendalam sebelum menyedia dan membentangkan penyatanya kepada Dewan ini.

“Dan bahawa Majlis membuat ketetapan melanjutkan tarikh bagi Jawatankuasa Pilihan Khas ini membentangkan suatu penyata yang mengandungi cadangan penambahbaikan kepada Rang Undang-Undang tersebut kepada Dewan ini tidak lewat daripada hari Khamis, 6 Oktober 2022,” katanya ketika membaca usul tersebut.

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undian, berkata, usul tersebut diluluskan.

Khairy, pada 22 September lepas memaklumkan RUU tersebut perlu dinilai semula selepas melihat cadangan pindaan yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial Parlimen.

Pada Ogos lepas, Dewan Rakyat bersetuju mengemukakan usul yang dikenali sebagai Generational End Game (GEG) itu untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen.

Perkara itu diputuskan dan diluluskan oleh Ahli-ahli Parlimen selepas dibahas seterusnya digulung oleh Khairy.

Sementara itu, beliau berkata, RUU itu sangat penting memandangkan masalah penggunaan rokok elektronik atau vape telah menjadi semakin berleluasa terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Jelasnya lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memberi penjelasan kepada badan-badan profesional serta badan bukan kerajaan yang lain melalui beberapa siri libat urus tentang mengapa rokok elektronik atau vape perlu dikawal penjualannya sebagai produk tembakau.

Sebelum itu, Khairy mempengerusikan mesyuarat terakhir Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) bagi Menimbang Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Dalam mesyuarat ini, JKPK telah memuktamadkan deraf penyata laporan dan secara konsensus dengan semangat bi-partisan telah bersetuju atas cadangan-cadangan pindaan ke atas RUU ini.

“Pelbagai cadangan dan pandangan daripada ahli-ahli JKPK yang mewakili parti masing-masing telah dikemukakan dan diberikan perincian khusus sepanjang JKPK ini berlangsung,” katanya.

Related posts

Leave a Comment