Anugerah Hari Warga Emas Kebangsaan

KUALA LUMPUR 1 Okt. – Bekas Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia, Prof Dr Tengku Aizan Tengku Abdul Hamid menerima Anugerah Warga Emas Wanita Negara sempena sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2022, hari ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengurniakan anugerah itu kepada Tengku Aizan pada majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini.

Tengku Aizan, 64, menerima anugerah itu atas pembabitannya dalam bidang pendidikan dan penyelidikan sejak 2002 hingga kini dan banyak menyumbang kepada pemerkasaan warga emas pada peringkat kebangsaan serta antarabangsa dengan membantu menggubal pelbagai polisi berkaitan golongan itu.

Pada majlis anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) turut menerima penganugerahan sebagai pusat paling aktif menganjurkan program bermanfaat untuk warga emas, yang disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun.

Selain itu, anugerah Warga Emas Bidang Kesenian diberikan kepada pelakon veteran, Fauziah Nawi, 69, yang menceburi bidang kesenian selama 40 tahun dan pernah merangkul gelaran pelakon terbaik dalam beberapa anugerah berprestij.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia,  Wan Mahmood Pawan Teh pula menerima anugerah bagi Warga Emas Bidang Kesukarelaan (badan bukan kerajaan), yang antara sumbangannya adalah terbabit dalam persediaan Malaysia menuju negara tua menjelang 2030.

Penerima anugerah lain ialah Sayed A Rahman Sayed Mohd yang merangkul anugerah Warga Emas Kesukarelaan (individu), Roslan Yatim (Warga Emas Bidang Pendidikan) dan Mary Shanthi Dairiam yang membawa pulang anugerah Warga Emas Bidang Kemanusiaan.

Related posts

Leave a Comment