Thailand mula tambah kes

BANGKOK 4 Jan. – Thailand yang sebelum ini agak perlahan merekodkan kes positif Covid-19 hari ini mencatatkan 745 kes baharu di mana 709 adalah jangkitan tempatan menjadikan jumlah keseluruhan kes 8,439.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), satu kematian juga dilaporkan menjadikan jumlah pesakit yang meninggal dunia setakat jnj akibat wabak itu seramai 65 orang.

Kes terbaru kematian itu melibatkan seorang lelaki berusia 56 tahun dari Bangkok yang mempunyai sejarah perjalanan ke wilayah Samut Sakhon yang mula tercetus wabak itu di sana pada pertengahan bulan lalu.

Mangsa juga mempunyai masalah kesihatan dan meninggal dunia semalam, selepas dikesan positif dua hari lalu.

Daripada jumlah 745 kes terbaru itu, sebanyak 709 kes adalah jangkitan tempatan iaitu 577 pekerja migran, 152 warga tempatan dan 16 kes import. Kebanyakan kes dikesan menerusi pengesanan kes aktif serta jumlah keseluruhan 4,087 pesakit dirawat di hospital dan asrama pekerja.

Berikutan lonjakan kes itu, CCSA mencadangkan untuk melanjutkan perintah darurat yang akan berakhir 15 Januari ini dilanjutkan hingga akhir bulan depan.

Sementara itu Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha  merayu rakyat supaya duduk di rumah untuk mengekang penularan jangkitan virus Covid-19 yang kembali melanda negara itu.

Setakat ini kerajaan mengisytiharkan 28 wilayah termasuk Bangkok sebagai zon berisiko tinggi selain meminta rakyat supaya bekerja dari rumah dan menghindari acara keramaian dan merentas sempadan daerah masing-masing.

Prayuth berkata, kerajaan memandang serius soal impak ekonomi apabila sekatan yang lebih ketat dilakukan.

“Kami tidak mahu menyekat pergerakan di seluruh negara kerana kami tahu masalahnya, maka tolonglah duduk di rumah sendiri.

“Semua ini bergantung kepada anda semua. Kalau tidak mahu dijangkiti, duduklah rumah selama 14 atau 15 hari. Jika anda lakukan ini, semuanya lebih selamat dan lebih mudah untuk pengesanan,” ujarnya kepada media.

Pihak berkuasa Bangkok pula mengarahkan restoran dan penjaja jalanan supaya tidak menyediakan ruang untuk pelanggan menikmati makanan di premis antara jpukul 7 petang hingga 6 pagi, untuk mengurangkan kemungkinan sebaran virus. Bagaimanapun, khidmat penghantaran makanan dibenarkan.

Jualan alkohol di restoran juga dilarang sementara pusat hiburan serta bar ditutup di daerah-daerah berisiko tinggi. Sekolah dan pusat pendidikan di negara itu ditutup selama sebulan.

 

Related posts

Leave a Comment