Prayut boleh sambung tugas PM

BANGKOK 30 Sept. –  Mahkamah Perlembagaan Thailand memutuskan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha yang digantung tugas sebelum ini, boleh menyambung semula pentadbirannya sehingga 2025.

Hakim, Punya Udchacon, berkata ini mahkamah memutuskan dengan majoriti bahawa jawatan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Prayut belum mencapai had penggal selama lapan tahun.

Bagaimanapun tempoh sehingga 2025 bergantung kepada pilihan raya nasional akan datang, yang mesti diadakan dalam tempoh beberapa bulan ini.

“Kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri dikira mulai 6 April 2017,” kata hakim ketika membacakan keputusan itu.

Bekas ketua tentera itu, yang berkuasa dalam rampasan kuasa tentera pada 2014, digantung tugas bulan lalu berikutan mahkamah perlu meneliti cabaran undang-undang dibuat parti pembangkang selepas Prayut didakwa sudah mencapai had penggalnya.

Susulan keputusan mahkamah itu, pihak berkuasa Bangkok kini sedang berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlakunya demonstrasi selepas beberapa kumpulan penunjuk perasaan memberi amaran mahu turun ke jalan raya jika Prayut memenangi kes berkenaan.

Sekurang-kurangnya tiga kumpulan protes yang terkenal semasa perhimpunan besar-besaran pro-demokrasi 2020, akan mengadakan demonstrasi sekiranya Prayut meneruskan pentadbiran.

Berdasarkan Perlembagaan Thailand 2017, seorang Perdana Menteri tidak boleh berkhidmat lebih daripada lapan tahun, namun penyokong dan pengkritik Prayut tidak bersetuju mengenai tempoh sebenar pentadbirannya bermula.

Tinjauan terhadap 2,500 orang awal bulan ini oleh Institut Pentadbiran Pembangunan Negara mendapati hanya 10.5 peratus responden menyokong Prayut, sekali gus menyebabkan beliau menduduki tempat keempat paling rendah sebagai calon berpotensi Perdana Menteri.

Related posts

Leave a Comment