PRU15: Top 5 UMNO bertemu

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, hari ini menghadiri mesyuarat lima pemimpin tertinggi UMNO atau dikenali ‘Top 5’ bagi membincangkan isu berkaitan tarikh pilihan raya umum.

Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin mengesahkan pertemuan itu menerusi Facebook yang turut memuat naik gambar kelima-lima mereka sedang bermesyuarat.

Top 5 merujuk kepada Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya,  Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden iaitu Ismail Sabri, Mohamed Khaled serta  Mahdzir Khalid.

Sebelum ini, UMNO memaklumkan perkara berkaitan tarikh pilihan raya umum akan dibincangkan dalam kalangan Top 5 parti itu.

Pada sebelah malam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan bermesyuarat, antaranya bagi membincangkan isu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bulan lalu, Ismail Sabri memberi bayangan beliau akan berjumpa ‘top five’ UMNO untuk membincangkan tarikh PRU15 sebelum pembentangan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.

“Macam saya beritahu sebelum ini apa sahaja keputusan yang dibuat kita tunggu ‘top five’ UMNObermesyuarat,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO,  Ahmad Maslan dilaporkan berkata semua ahli MKT boleh membangkitkan sebarang isu untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Khas MKT.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas apabila ditanya sama ada PRU15 turut dimasukkan sebagai satu daripada agenda utama yang akan dibincangkan nanti.

Related posts

Leave a Comment