Taufan Noru membadai Vietnam

DANANG : Selepas Filipina, taufan Noru membadai bahagian pantai tengah Vietnam pada awal pagi yang menyaksikan ratusan ribu penduduk bergegas mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut Pusat Ramalan Hidrometeorologi Nasional, angin kencang mencatat kelajuan antara 103 hingga 117 kilometer sejam dengan kedudukan pusat taufan itu pada pukul 4 pagi 28 September (hari ini) ialah antara Danang dengan Quang Nam.

Di Danang, bandar ketiga terbesar negara ini, bangunan tinggi bergegar akibat deruan ribut kuat yang turut mengakibatkan pokok tumbang dan bumbung tercabut daripada rumah di serata wilayah tengah. Bekalan elektrik dilaporkan terputus.

Media melaporkan lebih 200,000 penduduk di Vietnam berlindung di PPS selepas agensi ramalan cuaca memberi amaran taufan berkenaan dijangkakan antara yang terbesar melanda negara Asia Tenggara itu.

Kementerian Pertahanan mengerahkan kira-kira 40,000 tentera serta 200,000 anggota militia yang dilengkapi dengan kenderaan berperisai dan bot untuk persediaan melakukan operasi menyelamat serta memberi bantuan.

Hampir separuh daripada lapangan terbang di Vietnam ditutup, begitu juga sekolah dan pejabat di beberapa wilayah tengah termasuk Danang ditutup, begitu juga kedai serta hotel manakala penduduk dilarang berada di jalanan atas faktor keselamatan.

Turut ditutup, bahagian tengah lebuh raya yang menghubungkan Hanoi di utara dengan Bandar Ho Chi Minh di selatan.

Pihak berkuasa memaklumkan setakat lewat malam tadi, mereka telah memindahkan hampir 260,000 penduduk, termasuk yang mendiami bandar pelancongan popular Hoi An dengan ditempatkan di sebuah sekolah rendah.

Kira-kira 300 rumah di wilayah Quang Tri dilaporkan mengalami kerosakan dengan bumbung tercabut diterbangkan angin yang semakin kencang, lewat malam tadi, manakala di Hue pula banyak pokok tumbang.

Sebelum ini, Taufan Noru yang ‘super’ membadai Filipina termasuk di Pulau Luzon pada Ahad dan Isnin lalu yang menyebabkan pokok tumbang, bekalan elektrik terputus serta banjir.

Related posts

Leave a Comment