Muhyiddin kecewa hanya 16 perakuan dilaksana

PUTRAJAYA 27 Sept. – Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin Yassin  kecewa apabila hanya 16 atau 22.3 peratus daripada 69 perakuan berkaitan isu utama yang diusulkan majlis itu, dilaksanakan kerajaan.

Katanya, 30 daripada 69 perakuan berkenaan masih dalam pelaksanaan, 14 lagi belum dilaksanakan atau tiada maklum balas daripada kementerian atau agensi berkaitan, manakala sembilan lagi masih menunggu keputusan Kabinet.

Antara perakuan utama dikemukakan MPN yang prestasi pelaksanaannya tidak memuaskan, termasuk berkaitan isu kekurangan tenaga kerja asing, terutama bagi Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) yang menjejaskan produktiviti dan merencat proses pemulihan negara.

“Bagi menangani masalah ini, MPN dalam mesyuarat pada 2 Disember lalu memperakukan kepada kerajaan supaya menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Kekurangan Tenaga Kerja Dalam PMKS yang diterajui Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

Jawatankuasa ini adalah untuk meneliti dengan terperinci apakah permasalahan dalam pengambilan pekerja asing dan mencari penyelesaian dengan segera. Namun, dalam beberapa mesyuarat MPN selepas itu, wakil PMKS masih menimbulkan isu ini.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau hairan dengan situasi itu kerana Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenai perakuan itu serta beberapa cadangan yang lebih spesifik untuk membantu industri PMKS yang diperakukan pada 14 April lalu, diangkat kepada Kabinet pada 18 Mei.

Justeru, bekas Perdana Menteri mempersoalkan adakah Kabinet tidak membincangkan perakuan penting MPN dalam mesyuaratnya selama lebih empat bulan atau MJM itu dibentangkan kepada Kabinet, tetapi tidak dibincang secara terperinci.

Katanya, ia agak mengecewakan kerana perakuan penting MPN yang dikemukakan kepada Kabinet untuk membantu memulihkan industri PMKS yang menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tidak mendapat perhatian segera kerajaan.

“Kelewatan bertindak dalam hal ini adalah sesuatu yang tidak dapat diterima,” katanya namun menegaskan, beliau tidak berniat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak berkaitan isu berkenaan.

Sebaliknya, Muhyiddin berkata, tujuan beliau membuat pendedahan itu adalah supaya semua pihak sedar bahawa negara tidak berada dalam situasi yang baik pada masa ini.

Sementara itu, Muhyiddin menjelaskan MPN tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan semua 95 perakuan yang diputuskan dalam mesyuarat bulanannya sejak tahun lalu.

Sebaliknya, kuasa berkenaan terletak pada Perdana Menteri dan Kabinet, dengan MPN berfungsi sebagai badan penasihat kepada kerajaan.

“Sebagai Pengerusi MPN, saya tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan menteri atau ketua setiausaha kementerian atau ketua pengarah jabatan kerajaan untuk mengambil langkah tertentu atau membuat keputusan tertentu bagi mempercepatkan proses pemulihan negara.

Kuasa ini terletak pada tangan Perdana Menteri dan Kabinet. Ini bermakna, skop tugas MPN ialah memberi nasihat dan perakuan kepada kerajaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meneliti perakuan dikemukakan dan melaksanakannya,” katanya.

Muhyiddin pada masa sama menafikan dakwaan bahawa MPN ibarat harimau tidak bertaring kerana setiap tindakan diambil adalah keputusan kerajaan, manakala majlis itu bersidang setiap bulan dengan membuat banyak perakuan.

Beliau berkata, anggapan bahawa MPN harimau tidak bertaring adalah perbandingan yang tidak adil kerana MPN sudah melaksanakan tanggungjawabnya.

Related posts

Leave a Comment