Sultan Johor ucap tahniah kontinjen Sukma

JOHOR BAHRU 25 Sept. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen Johor atas kejayaan menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang berakhir semalam.

“Tahniah kontinjen Johor juara Sukma 2022,” titah Sultan Ibrahim menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda.

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan sama.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kontinjen Johor yang memenangi Sukma 2022 yang menutup tirainya hari ini (semalam).

Saya merasa bangga melihat kontinjen Johor dapat meraih 77 emas dalam kejohanan kali ini, sekali gus berjaya melepasi sasaran awal yang diletakkan iaitu 40 emas. Tahniah saya ucapkan sekali lagi kepada kontinjen Johor,” titah Tunku Ismail menerusi hantaran di Facebook rasmi.

Menteri Besar,  Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di laman Facebook berkata, Johor mencipta sejarah apabila berjaya menjadi juara buat pertama kali dalam 36 tahun penganjuran Sukma.

Pada temasya kali ini, barisan atlet Harimau Selatan mengungguli carta kedudukan pingat dengan kutipan 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa.

Related posts

Leave a Comment