50 % penjawat awam belum milik rumah

MELAKA 25 Sept. – Kira-kira 50 peratus daripada 1.62 juta penjawat awam di negara ini masih belum mampu memiliki rumah sendiri berikutan gaji minimum sektor itu disifatkan sebagai tidak lagi relevan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS),  Adnan Mat berkata, gaji minimum sedia ada menyukarkan kerajaan untuk mencapai sasaran pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan.

Begitu juga dengan matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Justeru, beliau berkata, penetapan gaji minimum baharu RM1,800 penting bagi memastikan penjawat awam bukan saja dapat memiliki rumah sendiri, malah mampu menyediakan perbelanjaan pengangkutan, pendidikan, kesihatan serta makan dan minum untuk keluarga.

“Unjuran gaji kita menyebabkan penjawat awam tidak layak untuk membeli rumah, terutama di bandar besar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Persidangan Perwakilan Tritahunan CUEPACS Melaka Sesi 2022-2025, di sini, hari ini.

Bagi mereka yang layak pula, rumah dibeli ada yang terbengkalai berpuluh-puluh tahun, manakala ada yang tinggal di bandar besar hanya mampu menyewa bilik.

“Gaji minimum kami ketika ini bagi lantikan pertama dicampur dengan imbuhan tetap khidmat awam, imbuhan tetap perumahan dan elaun COLA (sara hidup), maknanya baru menghampiri RM1,900… jauh di bawah pendapatan garis kemiskinan,” katanya

Adnan menjelaskan walaupun terdapat projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), jumlah unit yang layak dibeli berdasarkan gaji minimum sedia ada masih tidak mencukupi kerana kebanyakan harga rumah terbabit di luar kemampuan penjawat awam.

Selain itu, beliau berkata, isu rumah terbengkalai dalam tempoh yang lama, khususnya di Kelantan dan Sarawak, menyebabkan penjawat awam terpaksa mengeluarkan perbelanjaan bulanan bagi membiayai pinjaman perumahan serta sewa rumah.

“Ketika ini, CUEPACS menerima banyak aduan bahawa pinjaman telah diluluskan dan dibayar sepenuhnya oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kepada pemaju, namun rumah tidak siap dan tidak boleh diduduki,” katanya.

Related posts

Leave a Comment