Kit mudah kesan imuniti Covid-19

SINGAPURA 23 Sept. – Kit ujian darah yang dihasilkan oleh sekumpulan saintis tempatan berupaya mengetahui sama ada seseorang mempunyai imuniti terhadap Covid-19 dalam masa 10 minit, dengan tahap ketepatan sehingga 93 peratus.

Kit tersebut memerlukan hanya setitik darah dan berupaya mengesan sama ada seseorang itu mempunyai antibodi melawan SARS-CoV-2 – virus penyebab Covid-19 dalam masa 10 minit, berbanding 24 hingga 72 jam bagi ujian makmal konvensional.

Menurut para saintis, ujian ini mudah untuk disesuaikan bagi varian-varian baharu dan penyakit-penyakit lain pada masa akan datang, serta menyifatkan ujian tersebut sebagai “rendah kosnya”.

Kit itu dibangunkan oleh pasukan dari Perikatan Singapura-MIT bagi Penyelidikan dan Teknologi (SMART) sebuah perusahaan penyelidikan Institut Teknologi Massachusetts di Singapura dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Menurut kenyataan media bersama, ujian itu boleh dilakukan oleh seseorang tanpa latihan perubatan, tidak memerlukan sebarang peralatan di makmal dan ini membuka laluan kepada “ujian berskala besar bagi kumpulan yang mudah terdedah seperti warga tua.

Kit ujian itu berupaya mengesan imuniti terhadap Covid-19 berdasarkan antibodi yang dikesan pada sampel darah berbeza dengan ujian ART yang mengesan kehadiran protein yang dihasilkan apabila seseorang terkena jangkitan Covid-19.

Melalui antibodi yang dikesan menerusi ujian tersebut, ia boleh memaklumkan tentang seseorang itu harus berhati-hati terhadap potensi dijangkiti sebelum mendapatkan suntikan dos penggalak dan bila suntikan dos penggalak itu patut diambil.

Related posts

Leave a Comment