Covid-19 endemik Thailand mulai Oktober

BANGKOK 23 Sept. – Mulai bulan depan, Thailand mengklasifikasikan pandemik Covid-19 sebagai endemik selepas mengambil kira perkembangan penyakit itu di dalam dan juga di peringkat global.

Menurut laporan media tempatan, Covid-19 akan diklasifikasikan sebagai ‘penyakit berjangkit di bawah pengawasan’ daripada ‘penyakit berjangkit berbahaya semasa’ berkuat kuasa 1 Oktober.

Langkah itu yang diluluskan Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCDC)

membawa kepada peralihan besar negara itu  ke arah normalisasi.

Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul, berkata situasi global Covid-19 telah bertambah baik berdasarkan penurunan jangkitan dan kematian, dengan kadar populasi tinggi yang diberi vaksin menyumbang kepada penambahbaikan itu.

Beliau berkata, kementerian sedang mengisytiharkan peralihan di bawah undang-undang penyakit berjangkit yang telah diwartakan dan ia akan berkuat kuasa pada 1 Oktober ini.

Penyenaraian Covid-19 sebagai penyakit endemik akan berlangsung hingga September 2023.

Rangka kerja pelan tindakan kementerian termasuklah pengawasan dan langkah pencegahan, komunikasi risiko serta rawatan perubatan dan langkah lain untuk mengawal penyakit itu.

Ia juga akan merangkumi aspek pengurusan sosial, perundangan dan ekonomi.

“PBagaimanapun, setiap wilayah di negara ini mesti memantau dengan teliti situasi dan menangani sebarang kemungkinan wabak mengikut pelan tindakan.

Thailand juga telah mengeluarkan Covid-19 daripada senarai penyakit larangan bagi warga asing masuk atau tinggal di Thailand.

Anutin berkata, mereka yang mempunyai Covid-19 ringan atau tanpa gejala tidak lagi perlu tinggal di rumah selama lima hari, tetapi mesti mengekalkan penjarakan fizikal , memakai pelitup muka dan melakukan ujian secara berkala.

Related posts

Leave a Comment