Ada pertimbangan sebelum fasa endemik

PUTRAJAYA 22 Sept. – Terdapat beberapa pertimbangan yang perlu diambil kira sebelum Malaysia boleh memasuki Fasa Endemik Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya, pengumuman Covid-19 sebagai endemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memerlukan pertimbangan dan persediaan sebaiknya bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga peringkat antarabangsa.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, keputusan pengisytiharan endemik oleh WHO, mengambil kira setiap aspek bagi memastikan kemaslahatan masyarakat secara menyeluruh.

“Malaysia akan memasuki fasa endemik) … apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan Covid-19 memasuki fasa endemik. Pada masa ini, ia masih diisytiharkan sebagai Public Health Emergency of International Concern (PHEIC) yang membimbangkan di peringkat antarabangsa.

“Oleh itu, kita masih perlu berhati-hati dan memantau situasi COVID-19 untuk satu jangka masa,” katanya lagi dalam satu temu bual khas di Putrajaya semalam , sempena setahun menjawat jawatan sebagai Menteri Kesihatan.

Faktor kedua, ialah pengisytiharan Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan di bawah Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] masih berkuatkuasa sehingga Disember 2022.

Dan yang ketiga, kata beliau, adalah pandangan Pakar Perubatan Penyakit Perjangkit dan Pakar Epidemiologi tentang ketersediaan Malaysia untuk mengumumkan Covid-19 sebagai endemik.

“Kadar infektiviti Covid-19 masih tinggi di Malaysia, justeru keputusan untuk mengumumkannya sebagai endemik perlu difikirkan secara menyeluruh.

“Mutasi virus Covid-19 masih berlaku dan kebimbangan kemunculan varian dan subvarian baharu perlu di ambil kira,” kata Khairy.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki fasa ‘peralihan ke endemik’ bermula 1 April 2022.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) serta selepas meneliti syor daripada menteri kuartet.

Tegasnya, peralihan fasa tersebut merupakan ‘exit strategy’ bagi membolehkan rakyat Malaysia kembali ke kehidupan hampir normal selepas dua tahun berperang dengan Covid-19.

Sehingga kini, Khairy berkata, kadar kematian disebabkan oleh Covid- 19 adalah rendah di mana secara cumulative case fatality rate adalah sebanyak 0.23%.

Namun begitu, jelasnya lagi, apabila dianalisa, didapati majoriti kes kematian (75%) adalah terdiri daripada individu berumur 60 tahun dan ke atas, manakala 86% kematian berlaku dalam kalangan individu yang mempunyai sekurang- kurangnya satu komorbiditi.

“Setakat hari ini, Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) yang terdiri daripada pakar- pakar telah menyesyorkan agar dos penggalak kedua diberikan kepada golongan rentan dan berisiko tinggi tersebut bagi memastikan perlindungan yang optimum terhadap gejala teruk serta kematian akibat dari Covid- 19.

“Walau bagaimanapun, KKM akan sentiasa memantau perkembangan semasa dan akan memberikan saranan terkini berdasarkan bukti terbaru termasuk data epidemiologi , kemunculan variant of concern Covid- 19 yang baru serta faktor- faktor kesihatan awam yang lain,” katanya lagi.

Buat masa ini, Khairy berkata, pelbagai negara turut mempertimbangkan pengambilan vaksin secara tahunan ataupun berkala seperti mana vaksin influenza dan lain- lain.

Khairy memulakan tugas sebagai Menteri Kesihatan pada 30 Ogos 2021 (Foto) dan sebelum itu sebagai Menteri Sains Teknologi dan Inovasi.

Related posts

Leave a Comment