Anwar bidas tindakan kafir mengkafir

KAJANG 17 Sept. – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim membidas tindakan kafir-mengkafir antara pemimpin politik dan menyifatkan ia naratif yang merosakkan serta wajar dihentikan.

Katanya, parti politik sepatutnya memberi tumpuan kepada isu dasar dan tidak menyerang menggunakan isu kafir berkenaan, yang hanya akan menimbulkan kacau bilau yang mungkin tidak dapat dikawal.

“Saya tidak setuju andaian kalau menyinggung kafir oleh pimpinan Pas dan saya tidak setuju cara Tun Dr Mahathir (Mohamad) mengkafirkan yang lain.

Ini bukan tradisi budaya Islam dan tidak boleh dipertahankan,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Sanawi Ke-51 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persidangan Antarabangsa Kosmopolitan Islam di sini, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa Pas kini adalah parti kafir berikutan tindakannya bekerjasama dengan UMNO dan parti bukan Islam demi memperoleh kedudukan.

Bekas Perdana Menteri itu, berkata hingga kini Pas tidak menarik balik dakwaan yang dibuatnya suatu ketika dulu, bahawa orang yang tidak bersama parti itu adalah kafir, maka dengan tindakan kerjasama terbabit, ia menggambarkan bahawa mereka bukan lagi parti Islam.

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang pada April 1981 melalui Amanat Haji Hadi dikatakan mengkafirkan UMNO sehingga menyaksikan orang Melayu ketika itu berpecah-belah.

Pas kemudiannya bekerjasama dengan musuh tradisinya, UMNO di bawah semangat ‘perpaduan ummah’ atas nama Muafakat Nasional (MN).

Anwar yang juga Presiden PKR, turut mempersoalkan mengapa tiada teguran daripada pihak berkuasa agama dalam isu kafir-mengkafir berkenaan.

“Ada yang terima, tidak sanggup menegur. Mana mufti dan majlis agama, tidak boleh tegurkah bab ini?.

“Pendirian saya dan arahan kita kepada PKR dan PH, jangan layan, bahkan harus bantah sikap sama ada tidak jelas kafir-mengkafir atau pun memberikan pandangan ke arah itu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment