Jelajah kempen PRU PH bulan depan

SEREMBAN 15 Sept. – Pakatan Harapan (PH) akan memulakan siri jelajah kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bulan depan yang membabitkan semua pimpinan utamanya.

Pada masa sama PH berkata semua urusan berkaitan rundingan kerusi dan manifesto bagi PRU-15 akan diselesaikan menjelang pertengahan Oktober.

Gabungan itu juga akan mengadakan Konvensyen PH pertengahan bulan depan dalam usaha membina gelombang rakyat menyokong gabungan itu.

“Semua urusan rundingan kerusi dan manifesto PH akan diselesaikan menjelang konvensyen berkenaan,” kata Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan, hari ini.

Perkara itu diputuskan dalam pertemuan membabitkan semua pemimpin utama dan negeri PH di Seremban, hari ini, yang bertujuan membincangkan strategi gabungan itu menjelang PRU-15.

Hadir sama Presiden Keadilan Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau.

PH berkata, gabungan itu bersedia untuk memasuki dan memenangi PRU yang boleh diadakan pada bila-bila masa.

Bagaimanapun PH menyifatkan sebarang tindakan mengadakan pilihan raya pada musim banjir ini, yang diramal pada November adalah sangat tidak bertanggungjawab.

“PH amat risau dengan ramalan Jabatan Meteorologi bahawa keadaan hujan lebat akan berlaku sehingga akhir tahun. Kami menyokong sepenuhnya cadangan supaya kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan mengisytiharkan ‘kecemasan iklim’ sebagai langkah proaktif menghadapi fenomena banjir yang mungkin berlaku.

“PH juga berpandangan, semua parti politik dan Kerajaan Persekutan serta negeri perlu meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi membantu rakyat yang akan berdepan dengan ancaman banjir kelak,” katanya.

Pada masa sama, gabungan itu turut menyatakan kegusaran dengan suasana ekonomi negara tidak menentu, kenaikan harga barang yang mendadak dan pengurusan ekonomi yang didakwa tidak memuaskan.

Related posts

Leave a Comment