Hanya PM berkuasa nasihat Agong

SEREMBAN 14 Sept. – Hanya Perdana Menteri mempunyai kuasa menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan menetapkan tarikh pilihan raya, kata Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.

“Terpulang kepada Perdana Menteri untuk menetapkan tarikh yang sesuai bagi menghadapi pilihan raya kerana hanya beliau saja yang mempunyai kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi mengadakan PRU-15,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Merdeka@KomunitiKeluarga Malaysia Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, di Dataran Senawang, di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, Ismail Sabri memberi bayangan bahawa beliau mungkin berjumpa dengan ‘Top Five’ UMNO untuk membincangkan tarikh PRU-15 sebelum pembentangan Bajet 2023 yang dijadual diadakan pada 7 Oktober depan.

‘Top five’ UMNO merujuk kepada lima pimpinan tertinggi parti terdiri daripada Presiden, Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Mohamad serta tiga Naib Presiden iaitu Mohamed Khaled Nordin,  Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri sendiri.

Mohamad, yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkata, jentera parti itu sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU-15.

Katanya, memasuki pilihan raya ini umpama masuk peperangan dan pengakhirannya adalah kalah atau menang dan kalau perang, umpama hidup dan mati.

“Jadi, kita perlu bersiap sedia betul-betul, perlu pastikan gerak kerja kita diuruskan dengan terbaik dan yang penting, kita dapat memenangi pilihan raya ini yang boleh diadakan pada bila-bila masa yang sesuai,” katanya.

Related posts

Leave a Comment