Mengurus kewangan semasa pandemik

KUALA LUMPUR 10 Sept. – Pandemik Covid-19 perlu dijadikan peringatan kepada kerajaan untuk terus menguruskan kewangan awam secara bertanggungjawab, titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah, memiliki kredibiliti fiskal dan ruang adalah penting untuk membolehkan negara bertindak pantas dalam krisis terutamanya bagi melindungi kehidupan dan mata pencarian rakyat, serta menjaga ekonomi daripada runtuh.

Justeru, titah Al-Sultan Abdullah lagi, pengurusan ekonomi yang berhemah merupakan satu keperluan strategik untuk memastikan ekonomi kekal pada tahap yang baik, dan mampu menahan sebarang kejutan.

Kita semua harus menyokong mengutamakan perbelanjaan untuk membantu rakyat; dan meningkatkan kebajikan rakyat dalam tempoh mencabar.

“Tetapi (kerajaan) juga perlu terus melabur dalam meningkatkan infrastruktur; modal insan; dan sistem pendidikan negara. Kita juga mesti memiliki pertimbangan digitalisasi dan mengintegrasikan kemampanan, agar pada masa depan ekonomi Malaysia kekal bersaing di peringkat global,” titah Seri Paduka Baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah dalam Majlis Pelancaran buku ‘Weathering The Economic Storm: A Journey through the Uncharted Waters of Covid-19’, yang ditulis oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di ibu negara pada Jumaat.

Berkenan berangkat sama pada majlis tersebut ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin; serta Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Yang di-Pertuan Agong bertitah terdapat pelbagai peluang yang boleh direbut untuk rakyat bersama-sama membina dan mengukuhkan semula negara.

Namun, landskap pasca pandemik titah Al-Sultan Abdullah telah menyaksikan persaingan oleh semua negara di dunia dalam merebut peluang perdagangan, pelaburan dan perniagaan, serta menjadi lebih hebat.

“Bagi merebut peluang yang ada, Malaysia mesti terus berusaha dengan gigih untuk mengorak langkah maju ke hadapan. Kita tidak boleh lagi bersenang-lenang dan tidak habis lagi mengadu domba perkara yang remeh.

“Kita perlu mengetepikan semua perbezaan dan menumpukan usaha untuk merebut peluang yang ada ke arah membangunkan semula negara,” tambah Seri Paduka Baginda.

Buku “Weathering The Economic Storm: A Journey Through Uncharted Waters of Covid-19”, menyentuh jasa dan sumbangan anak Malaysia yang berkorban dan memastikan ekonomi rakyat serta negara terpelihara tatkala berperang dengan Covid-19.

Related posts

Leave a Comment