“Tiada siapa akan hidup selamanya..”

RATU Elizabeth II menaiki takhta pada 8 Februari 1952 pada usia 25 tahun selepas kemangkatan bapanya, Raja George VI, pada 6 Februari 1952.

Baginda mewarisi takhta United Kingdom (UK) sejurus selepas Perang Dunia Kedua, menyertai pentas dunia yang dikuasai tokoh politik seperti Mao Zedong dari China sehingga pemimpin Kesatuan Soviet, Joseph Stalin dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Dwight D Eisenhower.

Sepanjang 70 tahun, di atas takhta,  baginda merentasi dua abad yang penuh pergolakan sosial, politik dan teknologi.

Baginda menyaksikan keruntuhan empayar British yang tersebar luas hampir ke seluruh dunia selain menyaksikan krisis Brexit dan pelbagai skandal membabitkan keluarga diraja menggugat asas kerajaan baginda.

Namun, sepanjang pemerintahannya Ratu Elizabeth kekal sebagai Ratu yang popular dan bukan saja bertakhta di United Kingdom tetapi turut diiktiraf 14 bekas tanah jajahan British termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.

Baginda juga adalah ketua kumpulan 56 negara Komanwel yang merangkumi hampir suku daripada penduduk dunia selain diiktiraf pemerintah agung Gereja England iaitu gereja induk bagi golongan penganut Anglikan di seluruh dunia.

Ratu Elizabeth atau nama penuhnya, Elizabeth Alexandra Mary Windsor, adalah satu-satunya monarki yang dikenali oleh majoriti rakyat, dengan imejnya tertera pada setem, mata wang dan syiling.

Pada April 2021, warga Britain mula dikejutkan dengan hakikat bahawa era pemerintahan baginda mungkin sudah mencapai penghujungnya berikutan kemangkatan suaminya selama 73 tahun, Putera Philip, yang juga Duke of Edinburgh.

Bagaimanapun, kemangkatan Philip tidak menjejaskan peranan baginda untuk menunaikan tanggungjawab awamnya, walaupun pergerakannya semakin terbatas akibat usia dan masalah kesihatan.

Pada Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), salah satu penampilan awam terakhirnya, baginda bertitah: “Tiada siapa antara kita akan hidup selama-lamanya”.

Justeru, baginda menggesa pemimpin dunia meninggalkan legasi yang boleh dimanfaatkan oleh generasi muda.

Related posts

Leave a Comment