Tafsiran Pimpinan Ar-Rahman edisi rumi baharu

KUALA KUBU BHARU 9 Sept. – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan melancarkan kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi Baharu, hari ini.

Pelancaran kitab itu disempurnakan baginda pada Majlis Lawatan Kerja bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, ke Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di sini.

Jakim dan Rimbunan Islamik Media Sdn. Bhd. dalam kenyataan bersama memaklumkan, antara kelebihan cetakan terbaharu itu ialah ia merupakan satu-satunya kitab tafsir lengkap diterbitkan Jakim, karya terjemahan oleh penulis tempatan yang berkelayakan dan diiktiraf, serta saiz lebih besar dan mesra pembaca berbanding versi asal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad ketika menyampaikan sembah ucapan aluan berkata, sesuai dengan perkembangan zaman tanpa mengabaikan teras dalam ilmu tafsir dan tadabbur al-Quran serta berpandukan pandangan alim ulama dalam negara sebagai rujukan, kitab itu wajar diangkat menjadi rujukan rasmi umat Islam di Malaysia.

“Semoga umat Islam di negara ini akan terus memahami serta menghayati ayat-ayat al-Quran melalui penerbitan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi Baharu,” katanya.

Seri Paduka berdua juga melawat bilik kuliah dan beramah mesra dengan kakitangan serta pelajar institut pengajian itu, sebelum mengurniakan sumbangan kepada 20 pelajar Darul Quran Jakim daripada golongan asnaf.

Related posts

Leave a Comment