Pelbagaikan potensi halal di pasaran

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menggesa syarikat di negara ini untuk mempelbagaikan potensi halal dengan mencari keunikan sendiri termasuk pasaran yang belum diterokai.

Menurutnya, ini kerana ia merupakan sebahagian usaha membangunkan pembangunan dan inovasi industri halal.

Katanya, keperluan itu perlu dipertimbang meliputi mengubahsuai usaha penjenamaan dan promosi dalam mengakses pasaran baharu.

Beliau berkata, halal sesuai untuk semua pengguna tanpa mengira bangsa dan agama kerana ia berkait rapat dengan jaminan kualiti, pemuliharaan persekitaran, integriti dan ketelusan data serta amalan perniagaan yang lestari.

“Halal tidak tertakluk kepada penyediaan makanan dan minuman, tetapi ia juga sesuai diaplikasikan dalam pelbagai sektor industri dan perkhidmatan. Konsep halal terbukti bersifat sejagat untuk diguna pakai oleh semua.

“Peluang bagi pembangunan industri halal sentiasa terbuka luas berikutan populasi Muslim global kini mencecah 1.9 bilion pada tahun lepas. Ini menunjukkan potensi tinggi dalam mempelbagaikan industri halal secara lebih inklusif dan komprehensif dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke-18 (MIHAS 2022) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) hari ini.

Ismail Sabri berkata, penting untuk semua pihak menangani sebarang isu yang berkait dengan jaminan halal, yang berisiko merosakkan imej halal yang diusahakan selama ini.

Katanya lagi, jaminan halal yang dimaksudkan itu merujuk kepada keyakinan pengguna, penyeragaman, pensijilan dan akreditasi.

“Pengesahan dan piawaian produk Halal Malaysia bermula pada 1974 apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberi mandat menyediakan surat akuan pengesahan halal kepada produk yang mematuhi keperluan syariah.

“Kini, lebih 8,000 syarikat di Malaysia diiktiraf halal, di mana lebih 20 peratus daripadanya adalah syarikat pengeksport. Jakim turut bekerjasama dengan badan pensijilan halal pelbagai negara untuk keseragaman piawaian dalam pematuhan kepada undang-undang syariah.

Antara inisiatif untuk memudahkan pertumbuhan industri Halal Malaysia ialah penubuhan ‘Halal Malaysia Industrial Parks’ yang merupakan Hab Halal dunia terbesar meliputi kawasan seluas 200,000 ekar di 14 Taman Halal strategik yang telah menerima status Halal Malaysia (HALMAS) daripada HDC.

“Setiap Taman Halal ini menawarkan fasiliti infrastruktur yang bertaraf dunia, tenaga kerja berkemahiran, kemudahan menjalankan perniagaan, akses mendapatkan ramuan halal, serta insentif menarik daripada kerajaan Malaysia yang sentiasa menggalakkan pembangunan halal,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, sejumlah 295 syarikat kini beroperasi di 22 Taman Halal di seluruh Malaysia, termasuk 42 syarikat multinasional.

“Sehingga kini, Taman Halal telah menarik jumlah pelaburan terkumpul lebih daripada RM16 bilion, di mana RM9.5 bilion atau 59 peratus daripada jumlah ini adalah pelaburan langsung asing (FDI),” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment