Sos ABC, biskut ditarik balik

SINGAPURA 7 Sept. – Dua jenis sos dari Indonesia dan sejenis biskut dari Jepun ditarik balik dari pasaran selepas produk makanan berkenaan dikesan mengandungi alergen yang tidak diisytiharkan.

Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam satu kenyataan hari ini, sulfur dioksida – sejenis pengawet – dikesan dalam ABC Sweet Soy Sauce dan ABC Sambal Ayam Goreng Sauce dari Indonesia.

Selain itu, ABC Sambal Ayam Goreng Sauce juga mengandungi asid benzoik yang tidak diisytiharkan pada label bungkusan makanan itu.

Di bawah Peraturan Makanan Singapura, produk makanan yang mengandungi bahan-bahan yang diketahui boleh menyebabkan hipersensitiviti mesti diistytiharkan pada label bungkusan makanan bagi melindungi kesihatan awam.

SFA menjelaskan, ABC Sweet Soy Sauce yang terjejas mempunyai tarikh luput 26 Jun 2024 manakala bagi botol sos ABC Sambal Ayam Goreng Sauce, tarikh luputnya adalah 6 Januari 2024.

Tahap sulfur dioksida dan asid benzoik yang dikesan pada kedua-dua produk itu “melebihi paras maksimum yang dibenarkan dalam sos”.

Mengenai biskut wafer Fukutoku Seika dari Jepun, ia mengandungi putih telur dan tepung gandum yang tidak diisytiharkan. Biskut wafer terjejas itu mempunyai tarikh luput 20 April 2023.

SFA memberi amaran bahawa alergen dalam produk makanan boleh menyebabkan reaksi alahan kepada individu yang sensitif terhadapnya.

Menurut SFA, kehadiran alergen-alergen sulfur dioksida, putih telur dan tepung gandum secara amnya tidak mendatangkan masalah keselamatan makanan kepada pengguna, kecuali bagi mereka yang alah terhadapnya.

Bagi mereka yang sudahpun membeli produk-produk terjejas itu dan alah kepada alergen tersebut harus berhenti mengambilnya.

Related posts

Leave a Comment