“Saya berhenti, bukan keluar Pas”

SEPANG 7 Sept. – Ahli Parlimen Kuala Nerus,  Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan beliau ‘berhenti’ daripada Pas dan bukannya ‘keluar’ daripada parti yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) itu.

Justeru, bekas Ahli Jawatankuasa Pusat Pas itu meminta ahli-ahli parti untuk merujuk kepada perlembagaan parti mengenai perbezaan ‘berhenti’ dan ‘keluar’.

“Saya adalah rakan dan sahabat seperjuangan saudara dalam memperjuangkan Islam. Saya akan terus memperjuangkan cita-cita Islam sebagaimana termaktub dalam perlembagaan Pas di mana pun saya berada,” katanya.

Dalam titipan khas melalui Facebooknya, Dr Khairuddin Takiri menegaskan akan terus memperjuangkan cita-cita menyatukan umat Islam khususnya antara Pas dan UMNO sebagaimana keputusan Majlis Syura Ulamak 2015.

Begitu juga sebagaimana roh perjanjian Muafakat Nasional yang ditandatangani pada 14 September 2019 dengan linangan air mata ahli-ahli Pas dan UMNO dan  semangat keputusan muzakarah Majlis Syura Ulamak pada 30 Disember 2021.

“Saya sangat yakin bahawa suara penyatuan antara Pas dan UMNO adalah suara hati nurani 4.2 juta ahli Pas dan UMNO di bawah.

“Ia adalah kekuatan buat umat Islam Malaysia dalam politik. Cuma kita perlu sentiasa berusaha meredakan ketegangan dan pertelingkahan yang terlihat di media. Itulah perjuangan,” katanya.

Pada 14 Januari 2022, beliau digugurkan sebagai ahli jawatankuasa Pas pusat selepas dilantik pada 23 November 2021 dan pada 11 Februari, digugurkan daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas.

Bagi menjaga keharmonian perlembagaan Pas, beliau pada 21 Februari meletak jawatan sebagai Setiausaha dan ahli Majlis Syura Ulama Pas.

Dr. Khairuddin berkata, walaupun ‘berhenti’’ daripada Pas, beliau tidak mengkritik batang tubuh Pas dan idea perjuangannya, kecuali menegur tindak tanduk beberapa kerat pimpinan secara umum yang mempromosi pertembungan di sebalik suara mahukan penyatuan.

“Saya mesra UMNO dan mesra Pas kerana itulah semangat cita-cita penyatuan Pas dan UMNO dan akan kekal mesra kedua-dua pihak.

Saya dilihat sepentas dengan UMNO dalam banyak program dan saya bersedia sepentas dengan Pas dalam apa sahaja program cuma barangkali sentimen saya “berhenti” Pas menjadi hambatan sementara,” katanya.

Menurut Dr Khairuddin,  beliau sentiasa bersama dalam program kerajaan negeri apabila dijemput, begitu juga program melibatkan kerajaan Persekutuan sesuai kedudukannya sebagai ahli parlimen, “Keluarga Malaysia”.

Pada masa yang sama jika berkesempatan, beliau akan menyertai program bersama dengan ahli-ahli Pas di Kuala Nerus.

“Peruntukan kerajaan Persekutuan kepada saya sebagai ahli parlimen Kuala Nerus saya agihkan kepada semua rakyat daripada Pas dan UMNO apabila dimohon. Tidak pernah saya menolak.

Di belakang tabir saya turunkan peruntukan kepada ahli-ahli Pas berprogram walaupun nama saya dirahsiakan sebagai penyumbang kerana saya sendiri pun tidak minta untuk disebut,” katanya.

Beliau turut membantu Pas dari belakang untuk menyertai program di seluruh Malaysia yang memerlukan kewangan termasuk anggota Pas dan petugas ke Muktamar di Kedah sebagaimana amalan sebelumnya..

Dr Mohd Khairuddin turut mengucapkan terima kasih kepada UMNO Kuala Nerus yang bersedia menjemputnya menyertai program bersama dengan rakyat di Kuala Nerus dan sentiasa bersedia bersama Pas berprogram apabila terluang.

“Saya berlapang dada dan tidak pernah membenci dan marah kepada ahli Pas yang mengkritik saya dalam komen-komen media sosial. Mereka sayangkan Pas dan perjuangan. Mereka adalah saudara seislam dan seperjuangan saya.

“Saya kekal berukhuwwah dan bersaudara dengan semua pimpinan dan ahli PAS dan itulah yang diperjuangkan bersama dan mereka menyambutnya atas semangat persaudaraan dan perpaduan Islam,” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment