Cemuhan terhadap UMNO mengecewakan

KUALA LUMPUR 7 Sept. –  Dr Mahathir Mohamad seharusnya bersaing dalam gelanggang pilihan raya jika bekas Presiden UMNO itu berasakan UMNO perlu dikuburkan, kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Beliau berkata, cemuhan terbaru bekas Perdana Menteri itu terhadap UMNO semalam tidak mengejutkan biarpun ia mengecewakan.

Katanya, pendedahan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Dr Mahathir pernah memohon UMNO dibubarkan, menyerlahkan tahap kebencian beliau bukan lagi terhadap mana-mana individu dalam UMNO, tetapi terhadap UMNO itu sendiri.

Ini bermakna turut melibatkan akar umbi dan berjuta ahli yang tiada dosa terhadap Dr. Mahathir.

“Jadi ini bukan lagi mengenai mana-mana Presiden atau bekas Presiden atau mana-mana pemimpin UMNO, sebaliknya waktu Dr Mahathir berkuasa dan UMNO masih belum bangkit pada awal era Pakatan Harapan (PH), beliau masih mahu usahakan supaya UMNO hapus, tetapi hasrat itu tak kesampaian kerana istiqamah pemimpin dan ahli,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahril berkata, sebagai anak muda, beliau akan tetap menjaga lidah dan tutur kata apabila bercakap mengenai Dr Mahathir.

Katanya, ini kerana beliau membesar ketika era pemerintahan Dr Mahathir dan jasa bekas Perdana Menteri itu tidak boleh dinafikan.

“Beliau Perdana Menteri pertama yang saya kenali dari lahir hingga tamat sekolah. Meskipun ada dasar dan pendekatan yang saya kurang bersetuju termasuk ketika 22 tahun pemerintahannya, saya tak nafikan beliau ada jasa kepada negara ini.

“Baik buruk, pasang surut, beliau antara Perdana Menteri yang paling meninggalkan kesan kepada Malaysia. Saya tak nafikan itu.

“Tetapi ini tak bermaksud Dr Mahathir boleh cuba bubar kemudian cemuh UMNO tanpa kami membalas. Saya faham dia terkenal dengan lidah tajamnya baik di pentas tempatan atau antarabangsa, tetapi saya berharap beliau tidak terlalu kasar terhadap UMNO,” katanya.

Semalam, melalui Facebooknya, Dr Mahathir  berkata, UMNO perlu dikalahkan dan diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama.

(LIHAT LAPORAN BERTAJUK PEMENJARAAN NAJIB TIDAK BERSIHKAN UMNO)

Katanya, UMNO sekarang sudah menjadi parti perasuah secara ‘total’ dari puncak pimpinan sehingga ke akar umbi, malah pucuk pimpinan UMNO sekarang terkenal di seluruh dunia sebagai perasuah, pencuri berbilion duit negara, penyalahguna kuasa, perosak pentadbiran negara dan penghancur UMNO itu sendiri.

Related posts

Leave a Comment