AS mungkin beri vaksin tahunan

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan akan menyarankan supaya vaksin Covid-19 diambil secara tahunan ketika dos penggalak baharu diperkenalkan bagi melawan penularan varian ketika ini.

Setiausaha Kesihatan AS, Xavier Becerra  memaklumkan menjelang hujung minggu ini, lapangan untuk pemberian vaksin terkini itu akan disediakan dalam lingkungan lapan kilometer dari penempatan 90 peratus rakyat AS.

Orang ramai boleh mendapatkan dos penggalak baharu itu pada musim luruh atau sejuk nanti, bersama suntikan tahunan vaksin selesema seperti lazim.

Presiden AS, Joe Biden, dalam satu kenyataan berasingan pula berkata untuk kebanyakan rakyat negara ini, ‘ia bermaksud satu suntikan vaksin Covid-19, sekali setahun pada setiap musim luruh.’

Penyelaras Tindak Balas Covid-19 Rumah Putih, Dr Ashish Jha menjelaskan bahawa bagi sebahagian besar rakyat AS, pihaknya sedang menuju ke arah inisiatif pemberian satu suntikan vaksin Covid-19 secara tahunan.

Langkah ini boleh memberi tahap perlindungan tinggi sepanjang tahun untuk mengelak sakit serius.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) AS, Rochelle Walensky, berkata walaupun purata tujuh hari kemasukan ke hospital akibat Covid-19 kini menyusut 14 peratus kepada 4,500 orang sehari, vaksinasi secara tahunan boleh membantu menyelamatkan ribuan nyawa.

“Unjuran model menunjukkan pengambilan dos vaksin Covid-19 yang terkini serupa dengan liputan vaksin selesema tahunan pada awal musim luruh, boleh mencegah hingga 100,000 kemasukan ke hospital dan 9,000 kematian, selain menjimatkan kos perubatan mencecah berbilion dolar,” katanya.

Pakar penyakit berjangkit AS, Dr Anthony Fauci pula berpandangan melainkan muncul varian berbeza secara mendadak, pemberian vaksin secara tahunan sepatutnya dapat memberikan perlindungan mencukupi kepada kebanyakan orang.

Bagaimanapun bagi sesetengah kumpulan rentan berkemungkinan memerlukan vaksinasi lebih kerap.

Related posts

Leave a Comment