Kes harian Covid-19 lebihi 2,000

PUTRAJAYA 7 Sept. – Jumlah kes harian Covid-19 di negara ini kembali melebihi 2,000 dengan mencatatkan 2,067 kes setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,795,009.

Menurut laman sesawang COVIDNOW, kes yang dilaporkan itu membabitkan 2,063 kes penularan tempatan dengan empat lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Secara keseluruhannya, negara masih mempunyai 27,328 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dan daripada jumlah itu sebanyak 95 peratus bersamaan 25,963 kes sedang dalam kuarantin wajib di rumah.

Terdapat 1,277 kes atau 4.7 peratus sudah mendapatkan rawatan lanjut di hospital, 19 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 29 kes di unit rawatan rapi (ICU) dan 40 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga kini, kadar penggunaan wad ICU di paras 64 peratus, bagaimanapun yang digunakan untuk pesakit Covid-19 sahaja adalah 18.6 peratus.

Bagi kes kematian pula, enam dilaporkan meninggal dunia akibat termasuk satu kes di luar fasiliti kesihatan (BID) menjadikan jumlah keseluruhan korban mencecah 36,255 kes dengan 7,706 kematian sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Bagi jumlah kes sembuh di negara ini, setakat semalam terdapat sebanyak 2,279 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih 4,731,426 kes.

Sementara itu, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi dengan 589 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 454, Sabah 160, Perak 145 dan Sarawak 132.

Ini diikuti Negeri Sembilan 90, Kedah 80, Melaka 74, Johor 69, Kelantan 67, Pahang 62, Pulau Pinang 62, Wilayah Persekutuan Putrajaya 49, Terengganu 27, Wilayah Persekutuan Labuan 4 dan Perlis 3.

Related posts

Leave a Comment