Vaksin Covid-19, sembur, sedut

INDIA  dan China meluluskan pendekatan baharu pemberian vaksin Covid-19 tanpa menggunakan jarum suntikan, sebaliknya melalui semburan ke dalam hidung dan sedut melalui mulut.

Pengawal selia di India membenarkan vaksin versi hidung oleh Bharat Biotech itu diberikan sebagai pilihan kepada golongan yang belum mendapatkan imunisasi virus itu.

“Langkah ini akan mengukuhkan lagi usaha kolektif kita untuk memerangi pandemik ini,” kata Menteri Kesihatan India, Mansukh Mandaviya.

Bagaimanapun tidak dipastikan sejauh mana keberkesanan kaedah baharu itu, dan Bharat belum mengeluarkan hasil kajiannya atau memaklumkan bila pilihan berkenaan akan dilaksanakan.

Ahad lalu, CanSino Biologics mengumumkan pengawal selia China meluluskan versi sedut bagi vaksin Covid-19 oleh syarikat itu yang digunakan sebagai dos penggalak.

Syarikat itu menunjukkan keputusan awal kajian yang mencadangkan versi sedut terbabit dapat mempertingkatkan perlindungan imun selepas satu sedutan.

Setakat ini belum jelas sama ada ia bermaksud keberkesanan yang lebih baik ataupun bila pemberian dos penggalak melalui kaedah sedut itu akan dilaksanakan.

Related posts

Leave a Comment