Kunjungan TPM Singapura

PUTRAJAYA 5 Sept. –  Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura Lawrence Wong di Perdana Putra di sini.

Wong tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi empat hari dan ini merupakan lawatan sulung Wong ke Malaysia selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri republik itu pada Jun 2022.

Dalam pertemuan hampir sejam itu yang bermula pukul  5.30 petang itu, Ismail Sabri mengucapkan tahniah kepada Wong atas pelantikan beliau.

Kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen mereka untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Singapura termasuk dengan meneroka bidang kerjasama baharu.

Turut hadir Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar  Saifuddin Abdullah.

Singapura merupakan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia selepas China dengan nilai dagangan US$29.85 bilion dan sumber import kedua terbesar Malaysia juga selepas China dengan import berjumlah US$18.45 bilion dari Januari hingga Julai 2022.

Dari Januari hingga Disember 2021, pelaburan Singapura di Malaysia ialah sebanyak US$38.62 bilion manakala pelaburan Malaysia di Singapura berjumlah US$25.41 bilion bagi tempoh sama.

Related posts

Leave a Comment