Pas jemput UMNO tetapi tidak hadir

ALOR SETAR 3 Sept. – Pas mengesahkan ketidakhadiran pemimpin UMNO walaupun mereka dijemput menghadiri Majlis Perasmian dan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, turut menyatakan bahawa jemputan yang dihantar kepada wakil parti berkenaan turut tidak mendapat sebarang maklum balas serta jawapan.

“Daripada Presiden kepada (Majlis Kerja Tertinggi) MKT (semua dijemput), tetapi (semua) tidak dijawab, (mereka juga) tidak hadir (hari ini) termasuk daripada (UMNO) Kedah sendiri, (memandangkan) kepimpinan UMNO Kedah juga dijemput,” katanya.

Tambahnya, Pas juga telah menjemput bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bagi mewakili gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditubuhkan namun pemimpin itu juga tidak hadir pada Muktamar kali ini.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian dan Ucapan Dasar sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 di sini.

Takiyuddin turut menyatakan bahawa beberapa wakil daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan, termasuk Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin telah hadir dalam majlis perasmian pagi tadi.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas itu memaklumkan bahawa Muktamar Pas Pusat akan dihadiri oleh kira-kira 1,300 perwakilan melibatkan ahli Majlis Syura Ulama, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Pas Negeri dan Wilayah Persekutuan, selain perwakilan dari 197 kawasan di seluruh negara.

Turut dijemput adalah pimpinan politik dari rakan-rakan gabungan Perikatan Nasional, UMNO, kepimpinan GTA, wakil-wakil kedutaan dan pimpinan politik dari luar negara.

(Foto Pas)

Related posts

Leave a Comment