Pas tidak terdesak bersama UMNO

YAN 3 Sept. – Pas tidak terdesak untuk bekerjasama dengan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),  terlalu bergantung seolah-olah parti itu tidak dapat hidup tanpa UMNO, kata Mursyidul Am,  Hashim Jasin.

Beliau berkata, Pas sudah melalui pelbagai fasa dan cabaran sepanjang penubuhannya sejak 1951.

“Nak kata terdesak ertinya kita tak boleh hidup tanpa dia (UMNO) sedangkan kita sejak 1951 sehingga sekarang sudah lalui macam-macam (bertanding solo), tekanan, seronok apa semua kita lalui.

“Kita ada tempat kita berpandu (iaitu) al-Quran, sunnah dan syarak, maka kita rasa tenang dan lapang…kalah pun tak apa, menang lagi la. Itulah beza Pas dengan parti lain,” katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, di sini hari ini.

Hashim berkata Pas akan terus mengambil sikap untuk menjadi orang tengah dalam memulihkan hubungan UMNO dan Bersatu yang didakwa menjadi alasan utama pergolakan dalam Muafakat Nasional (MN).

“Demi perpaduan ummah, kalau ada dua golongan mukmin bergaduh hendaklah kamu damaikan. Berkaitan UMNO dengan Bersatu, mungkin kita buka pintu… kita ajar dan kita tak tutup.

“Bukan semua pimpinan UMNO menolak (MN). Jadi kita berharap ada sebahagiannya dibuka pintu hati mereka dan kita balik kepada agenda perpaduan ummah kita,” katanya.

Related posts

Leave a Comment