Pas kenang jasa Bersatu

ALOR SETAR 1 Sept. – Pas telah memuktamadkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Tuan Ibrahim, Jawatankuasa Perundingan Kerusi Perikatan Nasional (PN) telah diwujudkan bagi membincangkan persediaan serta pembahagian kerusi di antara parti-parti komponen dalam gabungan.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-63 di sini hari ini.

Katanya, muafakat politik bukan hanya bersifat sementara tetapi menentukan hala tuju negara ke mana sebenarnya negara dan rakyat nak dibawa.

Tambahnya, perbincangan telah dimulakan di antara parti komponen ketika ini dan beliau menjangkakan pembahagian kerusi selesai dalam masa terdekat.

“Kita telah memulakan perbincangan tersebut, Alhamdulilah ruang sangat mudah, perbincangan sangat baik.

“Muafakatnya sangat utuh, kita yakin boleh selesai dalam hanya dua tiga kali perundingan, soal kerusi akan selesai Insya-Allah,” katanya.

Bercakap kepada media kemudiannya, beliau berkata, Pas tidak akan meninggalkan Bersatu, sebagai mengenang jasa meletakkan Pas menjadi satu daripada parti dalam kerajaan sedia ada.

Beliau berkata Pas terhutang budi dengan rakan yang meninggalkan Pakatan Harapan (PH) untuk mengubah landskap pentadbiran negara.

“Keberadaan Pas dalam kerajaan Persekutuan adalah hasil daripada rakan kita yang keluar daripada PH. Kita menghargai perjuangan dan pengorbanan mereka, sebab itu dalam apa juga muafakat politik, kita tidak boleh ketepikan Bersatu,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, menegaskan Perikatan Nasional (PN) menerusi Pas sedia berunding dengan Barisan Nasional (BN) bagi mengelak pertembungan di 27 kerusi Parlimen kritikal pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, ada perkara perlu dirunding oleh PN dan BN dalam konteks kerusi kritikal bagi manfaat kedua-dua parti pada PRU akan datang.

“Ada 27 kerusi Parlimen dianggap kritikal dan rugi jika PN dan BN bertembung di kawasan berkenaan.

“Pas terbuka dalam hal ini kerana jika kedua-dua parti bertembung (PN dan BN), semua akan rugi dan oleh itu kita sedia berbincang jika BN bersetuju,” katanya.

Tanpa menamakannya secara spesifik, Tuan Ibrahim berkata, kerusi berkenaan pernah dimenangi oleh Pas dan UMNO sebelum PRU ke-14 tetapi jatuh ke tangan PH susulan pertembungan calon Pas dan BN.

“Pas masih menyokong penyatuan ummah sebagai teras muafakat politik seperti disebut oleh Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang).

“Kerusi ini memerlukan rundingan dengan BN dan sekiranya muafakat politik dapat dibuat, kita jangka kawasan itu dapat dimenangi semula,” katanya.

Tuan Ibrahim turut mengulangi pendirian parti itu menolak kerjasama dengan PH dan perkara itu diketahui oleh pimpinan PN.

Bagaimanapun, katanya, Pas terbuka untuk berbincang dengan parti di luar lingkungan PN yang tidak ekstrem bagi memastikan pembangkang tidak kembali berkuasa.

“Kajian mendapati tiada parti boleh memerintah sendiri di negara ini dan kita menyedari perlu ada gabungan terbaik untuk itu,” katanya.

(Foto Dewan Pemuda Pas)

Related posts

Leave a Comment