Kes harian terus meningkat

PUTRAJAYA 1 Sept. – Kes jangkitan harian Covid-19 terus menunjukkan peningkatan dengan mencatatkan 2,340 semalam berbanding 2,144 kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,782,624 kes.

Menurut data yang dikongsikan dalam laman sesawang COVIDNOW, kes baharu itu membabitkan 2,338 kes penularan tempatan dan dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Sehingga kini, negara masih mencatatkan 30,991 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dan daripada jumlah itu 95.5 peratus bersamaan 29,604 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu terdapat 4.2 peratus atau 1,301 kes sudah mendapatkan rawatan lanjut di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (17), unit rawatan rapi (ICU) (69) dengan 42 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Secara keseluruhannya, penggunaan ICU di seluruh negara adalah 62.1 peratus, bagaimanapun yang digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 adalah pada paras 18.5 peratus.

Sebanyak enam lagi meninggal dunia akibat Covid-19 dan satu daripadanya adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) menjadikan jumlah keseluruhan 36,216 kematian dan 7,696 daripadanya meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Bagi kes sembuh yang dilaporkan semalam, terdapat sejumlah 2,502 kes sekali gus menjadikan jumlah individu sembuh daripada jangkitan itu meningkat kepada 4,715,417 kes.

Related posts

Leave a Comment