La Nina dijangka berlarutan

GENEVA: Fenomena La Nina dijangka berlarutan hingga akhir tahun ini, demikian menurut agensi cuaca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO).

La Nina, iaitu penyejukan suhu permukaan lautan secara besar-besaran, sudah bertambah kukuh di timur dan tengah khatulistiwa Pasifik dengan peningkatan pertukaran angin sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Setiausaha Agung WMO, Petteri Taalas, yang juga pegawai tertinggi agensi itu, turut memberi amaran bahawa ‘triple dip’ atau fenomena cuaca sama selama tiga tahun berturut-turut tidak bermaksud pemanasan global semakin reda.

Ia diberi nama ‘triple dip’ berdasarkan kesannya selama tiga tahun berturut-turut terhadap perubahan cuaca seperti kemarau dan banjir di seluruh dunia.

“Adalah luar biasa untuk berlaku fenomena La Nina tiga tahun berturut-turut, pengaruh penyejukannya memperlahankan kenaikan suhu global buat sementara waktu, tetapi tidak akan menghentikan atau mengalihkan arah aliran pemanasan jangka panjang,” katanya.

La Nina ialah penyejukan semula jadi dan kitaran bahagian Pasifik khatulistiwa yang mengubah corak cuaca di seluruh dunia, berbanding dengan pemanasan disebabkan oleh El Nino, yang lebih dikenali sebagai fenomena bertentangan.

La Nina sering membawa kepada lebih banyak taufan Atlantik, kurang hujan dan lebih banyak kebakaran hutan di barat Amerika Syarikat (AS) selain kerugian pertanian di tengah AS.

Kajian menunjukkan La Nina lebih merosakkan di AS berbanding El Nino.

Saintis berkata, El Nino, La Nina dan keadaan neutral dipanggil ENSO, singkatan kepada ‘El Nino Southern Oscillation’, mengakibatkan antara kesan semula jadi terbesar pada iklim.

Kadangkala ia menambah atau mengurangkan kesan perubahan iklim yang disebabkan manusia, berpunca daripada pembakaran arang batu, minyak dan gas.

Related posts

Leave a Comment