“Sudah lama saya rasa tak seronok”

SERDANG 28 Ogos – “Sudah lama saya tak seronok macam hari ini, macam-macam masalah yang timbul, hari ini hilang semua masalah,” kata Ismail Sabri Yaakob semasa menghadiri Majlis Sambutan 60 Tahun Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Malah, kata Perdana Menteri, segala masalah ibarat hilang ketika bertemu kira-kira 7,000 warga Kemas yang berhimpun pada majlis berkenaan.

“Sebenarnya saya dah lama merindui untuk bersama-sama warga Kemas  seperti suatu ketika dahulu. Agak lama saya bersama warga Kemas, yang saya kira sebagai barisan hadapan kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Ismail Sabri berkata, ketika beliau Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mulai 29 Julai 2015 hingga 7 April 2018, setiap program dihadirinya mengundang suasana atau ‘mood’ ceria.

Katanya, keceriaan itu ditambah dengan kehadiran kanak-kanak Tabika Kemas pada setiap program anjuran jabatan itu.

“Ketika saya di KKLW atau di mana-mana, setiap program saya akan disambut kanak-kanak. Walaupun pagi ‘mood’ tak baik, bila ada kanak-kanak, selesai masalah dan program bertukar meriah.

“Cuma dari segi sejarahnya, suatu ketika Kemas hilang daripada pandangan mata masyarakat. Kita tahu kenapa, ada orang diberi amaran, pilih antara dua, nak ‘berkemas’ keluar atau nak tinggal dalam KEMAS.

“Kalau nak dalam Kemas, kena keluar daripada menjadi ahli politik tertentu,” katanya sambil memberi jaminan, perkara itu tidak akan berulang lagi.

“Itu dahulu, sekarang saya nak Kemas jangan lagi risau kerana saya difahamkan, sudah diberi ruang untuk berpolitik semula,” katanya.

Related posts

Leave a Comment