Covid-19, konflik, iklim cetus krisis makanan

JUMLAH penduduk berdepan krisis bekalan makanan tidak mencukupi di seluruh dunia dilaporkan meningkat lebih dua kali ganda kepada 345 juta orang sejak 2019, demikian menurut Program Makanan Sedunia (WFP).

Peningkatan itu sebahagian besarnya disebabkan pandemik Covid-19, konflik dan perubahan iklim.

Pengarah rantau WFP, Corinne Fleischer berkata, seramai 135 juta penduduk mengalami kebuluran serius di seluruh dunia sebelum krisis coronavirus dan angka itu meningkat serta dijangka bertambah lagi disebabkan perubahan iklim selain konflik.

Kesan cabaran alam sekitar dilihat sebagai satu lagi faktor ketidakstabilan yang boleh mendorong krisis makanan berlaku, sekali gus menjurus kepada konflik dan migrasi secara besar-besaran.

Katanya, dunia tidak mampu menghadapi keadaan ini lagi dan sedang menyaksikan 10 kali ganda migrasi di seluruh dunia kerana perubahan iklim dan konflik, malah sudah tentu ia berkaitan.

“Jadi, kami amat bimbang mengenai kesan gabungan Covid-19, perubahan iklim dan perang di Ukraine,” katanya.

Menurut Fleischer, krisis Ukraine memberi kesan yang amat besar kepada Asia Barat dan Afrika Utara memandangkan kedua-duanya bergantung pada import bijirin dari sana, berdasarkan lokasinya berhampiran dengan Laut Hitam.

“Yaman misalnya, mengimport 90 peratus keperluan makanannya dan mereka mendapatkan kira-kira 30 peratus dari Laut Hitam,” katanya.

WFP menyokong 13 juta daripada jumlah 16 juta penduduk dunia yang memerlukan bantuan makanan.

Bagaimanapun, bantuan itu hanya menampung separuh keperluan harian individu berkenaan berikutan kekurangan dana.

Kos meningkat sebanyak 45 peratus secara purata sejak pandemik Covid-19 dan penderma Barat berdepan cabaran ekonomi besar dengan perang di Ukraine.

Negara pengeksport minyak seperti Iraq umpamanya, mendapat manfaat berikutan kenaikan harga minyak susulan perang di Ukraine, tetapi aspek keselamatan makanannya terjejas.

“Iraq memerlukan sekitar 5.2 juta tan gandum tetapi hanya menghasilkan sendiri kira-kira 2.3 juta tan gandum, bakinya terpaksa diimport pada harga jauh lebih tinggi.

“Walaupun mendapat sokongan kerajaan, kemarau teruk dan krisis air yang berulang kini mengancam kehidupan peladang kecil di serata Iraq,” katanya.

Related posts

Leave a Comment