Rugi RM429,000 diperdaya Macau Scam

KANGAR 26 Ogos – Seorang wanita penjawat awam berusia 50 tahun mengalami kerugian sebanyak RM429,000 akibat diperdaya oleh sindiket Macau Scam baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Arau, Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, wanita itu menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari pejabat Pos Malaysia Berhad.

Mangsa diberitahu bahawa terdapat satu bungkusan mengandungi barang terlarang iaitu sekeping kad pengenalan dan lima keping kad juruwang automatik (ATM) yang didaftarkan atas nama mangsa untuk dihantar ke Sabah.

Ahmad Mohsin dalam satu kenyataan berkata, mangsa yang menafikan hal berkenaan bagaimanapun diarahkan suspek untuk membuat laporan polis menerusi panggilan telefon yang disambung ke Balai Polis Sabah.

“Selepas panggilan tersebut disambungkan, mangsa terkejut apabila diberitahu bahawa nama dan nombor kad pengenalannya terlibat dalam kes jenayah pengubahan wang haram dan mangsa diminta untuk membuat beberapa kali transaksi bayaran bagi menyelesaikan kes itu,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu yang takut kerana diugut akan ditangkap dan didakwa di mahkamah atas kesalahan kononnya dilakukan mangsa, telah percaya dengan dakwaan terbabit dan membuat 10 kali transaksi bayaran berjumlah RM429,000 ke beberapa akaun yang diberikan.

Ahmad Mohsin berkata, polis menerima laporan daripada mangsa pada Rabu lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Related posts

Leave a Comment