Rafizi tidak jujur, sengaja fitnah

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad mengulangi kesediaannya untuk disiasat bagi membuktikan kebenaran apa yang dijelaskannya berhubung isu projek kapal tempur pesisir (LCS).

Pada masa yang sama, beliau juga meminta Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bersikap lebih jujur dalam berpolitik serta membuktikan individu bernama Zainab Mohd Salleh adalah isteri keduanya.

Dalam satu kenyataan malam ini, Ahli Parlimen Mersing itu berkata, walaupun beliau telah memberikan penjelasan, Rafizi masih berterusan dengan pembohongannya.

“Maka dengan ini, saya membuat penjelasan yang sebenar dan sejujurnya seperti berikut: Saya tidak mempunyai sebarang isteri atau bekas isteri yang bernama Zainab Binti Mohd Salleh; Apa jua perbuatan Zainab tidak mempunyai kaitan dengan saya;

Saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan dari 2009 sehingga 2013; Tarikh kontrak LCS kepada BNS dibuat pada 17 Julai 2014.

Saya tidak memainkan sebarang peranan dalam kontrak LCS tersebut; Keluarga saya tidak mendapat sebarang kontrak pertahanan atau pembekalan dengan Kementerian Pertahanan semasa saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan,” katanya.

Menurut Dr. Abd Latiff, menjelang PRU-15 yang dijangkakan tidak lama lagi, beliau dijadikan bahan serangan Rafizi dengan cuba menunjukkan pemimpin Bersatu juga korup dan tidak layak dipilih pada PRU-15

“Modal fitnah Rafizi adalah kononnya terdapat satu laporan forensik oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd (Alliance) kepada Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC).

“Rafizi mentohmah bahawa saya mempunyai isteri kedua bernama Zainab Binti Mohd Salleh yang mendapat kontrak pertahanan puluhan juta ringgit dengan Kementerian Pertahanan bagi Littoral Combat Ship (LCS) semasa saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan.

Jadi apa jua perbuatan Zainab, dikaitkan sebagai perbuatan salahlaku saya,” kata.

Dr. Abd Latiff berkata, Rafizi telah menggunakan satu laporan forensik oleh Alliance sedangkan dokumen tersebut hanya merupakan satu deraf yang tidak ditandatangani dan yang tidak dapat disahkan kandungannya.

Katanya, Rafizi bukan sahaja tidak jujur, malah dengan sengaja membuat fitnah apabila menyembunyikan fakta bahawa terdapat laporan forensik sebenar yang ditandatangani Alliance yang secara jelas tidak menyebut Zainab isteri keduanya.

“Rafizi juga menyelindungkan fakta bahawa pendahuluan laporan forensik tersebut secara jelas memberikan amaran “Notice to the Reader” seperti berikut:

“In compiling this report, we have relied on oral and documentary representations made to us by people associated with the issues relating to our review. We were unable to assess the veracity of these representations.”

Beliau berharap Rafizi bersikap lebih jujur dalam berpolitik.

“Pembohongannya bukan sahaja menipu masyarakat tetapi juga menggugat keyakinan rakyat kepada pemerintah sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara bila mana penjelasan yang perlu dibuat mendedahkan rahsia aset pertahanan negara kepada pengetahuan umum,” katanya.

Related posts

Leave a Comment