SEREMBAN 16 Ogos – Semua pihak terbabit dalam insiden pemasangan bendera terbalik di Pulau Pinang, perlu dikenakan tindakan penguatkuasaan, bukan hanya ke atas Dr Muhamad Akmal Saleh.
Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berkata, setiap tindakan pasti akan mengundang reaksi, dan adalah penting untuk semua pihak bertenang serta tidak mencetuskan ketegangan yang boleh menggugat keharmonian negara.
“Apa jua dalam dunia ini, setiap tindakan akan ada reaksi. Kita tidak mahu perkara ini jadi saingan luar kawalan. Saya harap semua pihak bertenang, Dr Akmal telah dipanggil oleh polis untuk beri keterangan,” katanya.
Beliau yang ditemui media selepas merasmikan serentak Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau, di sini hari ini, mengulas pertikaman lidah antara Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO dengan kepemimpinan DAP berhubung isu Jalur Gemilang dipasang terbalik di Kepala Batas.
Mohamad menegaskan, sebagai sebuah negara yang mengamalkan kedaulatan undang-undang, semua pihak wajib menghormati peraturan sedia ada dan tindakan undang-undang perlu dikuatkuasakan tanpa memilih bulu.
“Undang-undang pemasangan bendera telah pun ada. Jika ada pihak yang memasang bendera secara tidak betul, tindakan sepatutnya diambil. Kita tidak boleh hanya ambil tindakan terhadap satu pihak, sedangkan yang lain dibiarkan.
“Kalau Pemuda (UMNO) perlu bertindak sendiri (protes perbuatan memasang bendera secara tidak wajar), maka apa gunanya kita ada agensi penguatkuasaan?” tegasnya sambil menasihatkan semua pihak berhati-hati untuk memastikan negara yang sedang diurus dengan baik tidak terjerumus semula ke dalam kancah tidak menentu.
“Ada orang yang amat sensitif tentang lambang dan apa yang dipanggil sebagai panji-panji kita. Kalau panji-panji negara dibuat begitu rupa, ada orang yang akan marah,” katanya.
DAP sebelum ini mengarahkan sayap Pemuda DAP (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau merangkap EXCO Melaka itu yang mengetuai perarakan dan demonstrasi di hadapan sebuah kedai logam di lokasi kejadian, semalam.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, berkata laporan polis akan dibuat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah dan Seksyen 504 kanun sama kerana sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan.
Nnnn
