Tidak gopoh tukar cuti hujung minggu

JOHOR BAHRU 23 Ogos – Semua faktor berkaitan cadangan menukar semula cuti hujung minggu negeri ini kepada Sabtu dan Ahad akan diteliti sebelum keputusan muktamad dibuat, titah Sultan Ibrahim Iskandar.

Titah Sultan Johor, baginda tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan berhubung cadangan kerajaan Johor itu.

“Saya tidak ingin gopoh dalam membuat keputusan. Cadangan kerajaan itu akan saya teliti setiap sudut baik buruknya, dan pandangan semua pihak akan diambil kira serta diperhalusi. Tidak payah kecoh-kecoh atau dipolitikkan.

“Buat masa ini, saya mahu kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi Johor serta kepentingan rakyat.

Kerajaan negeri boleh memberikan apa jua cadangan kepada saya, dan saya akan mempertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum memberi apa-apa keputusan,” titah baginda dalam kenyataan dimuat naik di akaun Facebook rasmi, hari ini.

Pada 14 Jun lalu, kerajaan Johor dilaporkan akan mengkaji semula cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu berikutan banyak keluhan disuarakan rakyat negeri ini.

Menteri Besar,  Onn Hafiz Ghazi, dipetik berkata setiap pandangan berhubung pelarasan cuti hujung minggu di Johor diterima dengan baik dan akan diteliti.

Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim mengubah cuti mingguan Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan terhadap agama Islam sebagai agama rasmi Johor.

Perubahan itu sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Johor hanya melaksanakan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad mulai 1994 apabila ia ditukar ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Besar.

Related posts

Leave a Comment