Bawa negara kembali ke persada kejayaan

KUALA LUMPUR 5 Jun – Bawa negara kembali ke persada kejayaan dalam era pascapandemik.

Begitulah titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada kerajaan dan semua pihak tanpa mengira fahaman politik, berusaha merencana pelan jangka panjang bagi pemulihan negara.

Al-Sultan Abdullah bertitah bagi menempuh gelora masa hadapan dalam era pascapandemik berkenaan, pengurusan negara memerlukan suatu rencana yang bitara, mencakupi pelbagai sektor dan aspek kehidupan.

“Pada masa sama, rakyat beta turut berperanan dalam mendokong usaha murni kerajaan disamping terus berusaha mendepani sebarang cabaran. Natijahnya, pemulihan negara memerlukan simbiosis yang erat antara kerajaan dan rakyat beta.

Perpaduan dan kebersamaan dalam sebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang, sebenarnya adalah resipi dan kekuatan membentuk aspirasi nasional. Ia adalah tiang kemakmuran negara dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan,” titah Seri Paduka.

Bagibda bertitah demikian sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda .

Yang di-Pertuan Agong bertitah sektor ekonomi dan kehidupan seharian rakyat juga menampakkan pemulihan, bermula daripada pembukaan semula sempadan negara pada 1 April 2022 lalu dan baginda bersyukur kerana pandemik Covid-19 kian pulih, sekali gus rakyat berupaya kembali menikmati kehidupan seharian yang sebelum ini terjejas akibat pandemik itu.

Titah Al-Sultan Abdullah, pada hakikatnya bukanlah suatu perkara yang mudah untuk mengemudi negara keluar daripada kesan pandemik Covid-19.

Justeru, Seri Paduka mengajak seluruh rakyat negara ini untuk berganding bahu dalam kesepaduan yang erat ke arah membentuk Malaysia yang gemilang.

Yang di-Pertuan Agong bertitah pemulihan dan kebangkitan negara yang diimpikan tidak mungkin menjadi realiti, jika rakyat berpecah-belah dan gagal untuk mewujudkan landskap kehidupan yang stabil.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita semua perlu berganding bahu dan menggalas tanggungjawab masing-masing, ibarat kata pepatah ‘ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni’,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka turut mengingatkan rakyat untuk terus menyokong usaha-usaha dan dasar kerajaan agar program yang digubal, dapat dinikmati oleh semua orang.

Al-Sultan Abdullah juga mengajak pemimpin negara dan anggota perkhidmatan awam, untuk terus berkhidmat setulus hati dalam menentukan sosioekonomi rakyat baginda terus dilindungi dan dibantu demi kelangsungan hidup mereka.

Related posts

Leave a Comment