ANKARA 18 Ogos –  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat ke Turkish Aerospace Industries (TAI) di Fethiye District, Kahramankazan, sempena lawatan negara tujuh hari di Turkiye.

Dalam lawatan itu Baginda berkenan menyaksikan pertunjukan udara menggunakan pesawat tempatan yang dibangunkan TAI, antaranya helikopter T129 ATAK dan Gokbey, pesawat tanpa pemandu Anka dan Aksungur serta pesawat latihan Hurkus.

Baginda yang turut mencuba simulasi pesawat milik TAI menzahirkan rasa kagum dengan teknologi dimiliki TAI dan berharap agar kerjasama lebih rapat dapat diwujudkan antara kedua-dua negara.

TAI sebelum ini berminat bekerjasama dan membangunkan industri aeroangkasa Malaysia dengan membawa kepakaran, pengeluaran produk tulen (OEM) ke Malaysia.

Mereka merancang untuk mewujudkan sebuah kilang pengeluaran produk aeroangkasa seperti jet, helikopter dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) di Malaysia dalam tempoh setahun dan menjadikannya sebagai pangkalan untuk rantau Asia Pasifik.

Sementara itu, dalam program sama, Seri Paduka Baginda berkenan bertemu dan beramah mesra dengan sebahagian pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Turkiye, termasuk tujuh pelajar Malaysia yang menjalani latihan praktikal selama sebulan di TAI.

Tujuh pelajar dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu adalah pelajar dalam bidang aeroangkasa di UniKL cawangan Banting, Selangor dan juga kumpulan pertama yang terpilih mengikuti latihan praktikal di TAI tajaan UniKL.

Related posts

Leave a Comment