Pecat jika tolak suntikan vaksin

PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen mengancam untuk mengenakan hukuman penjara bagi mereka yang melanggar kuarantin dan memberi amaran memecat penjawat awam yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Sanggup dipanggil diktator, beliau mengambil langkah lebih tegas itu bagi melindungi nyawa rakyat daripada wabak itu.

Sepanjang dua hari lalu, Kemboja mencatatkan lebih 1,000 jangkitan – kebanyakannya dalam kalangan pekerja kilang pakaian dan peniaga gerai pasar – menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu 4,081 kes dengan 26 kematian.

Pihak berkuasa minggu ini melarang perjalanan antara wilayah, melaksanakan perintah sekatan pada waktu malam di ibu kota Phnom Penh dan menutup tempat pelancongan popular termasuk taman arkeologi Angkor Wat .

Memakai pelitup muka kini wajib di Phnom Penh dan mereka yang tidak patuh akan dikenakan denda hingga S$336.

Hun Sen yang pada Sabtu mengancam langkah-langkah yang lebih keras, mengumumkan sesiapa yang melanggar tempoh kuarantin dua minggu akan menjalani “perbicaraan pantas” dan hukuman penjara.

“Mereka yang melanggar langkah-langkah Covid mesti dihukum. Saya terima dipanggil diktator, tetapi saya juga akan dikagumi kerana melindungi nyawa rakyat saya.” katanya menerusi saluran TV milik kerajaan.

Kemboja sudahpun meluluskan rang undang-undang pengekangan Covid-19 yang ketat yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun bagi mereka yang melanggar peraturan Covid-19.

Hun Sen juga mengumumkan bahawa pemvaksinan adalah “wajib” bagi semua pegawai negara dan anggota angkatan bersenjata.

Program vaksinasi kerajaan dimulakan pada Februari dan sejuta orang sejak itu sudah menerima sekurang-kurangnya suntikan pertama daripada dua suntikan.

Jumlah jangkitan mula melonjak pada lewat Februari apabila satu penularan dikesan dalam masyarakat ekspatriat China.

Kini, Phnom Penh secara perlahan kehabisan katil hospital dan pihak berkuasa sedang mengubah sekolah dan dewan majlis perkahwinan menjadi pusat rawatan bagi pesakit dengan gejala ringan.

Related posts

Leave a Comment