Vaksin sasar virus versi asal, Omicron

LONDON: Agensi Pengawal Selia Produk Ubat-Ubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 berasaskan varian yang khusus menyasarkan virus versi asal dan varian Omicron.

Kelulusan itu membolehkan Britain menggunakan vaksin yang dihasilkan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Moderna, sebagai dos penggalak untuk golongan dewasa.

Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) pula menyokong penggunaan vaksin itu bermula September ini.

Data ujian klinikal menunjukkan dos penggalak terbabit mampu membina tindak balas imun yang kuat terhadap kedua-dua varian Omicron (BA 1) dan versi asal.

Di samping itu, MHRA turut memetik data analisis di mana dos keempat itu mampu membina tindak balas imun yang baik terhadap varian Omicron BA.4 dan BA.5 yang dominan ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MHRA, June Raine, dalam kenyataannya berkata walaupun vaksin Covid-19 sedia ada mampu menyediakan perlindungan, keberkesanannya tergugat disebabkan mutasi virus berkenaan.

Apa yang diberikan vaksin bivalen ini ialah pertahanan dan perlindungan untuk kita melawan penyakit terbabit kerana virus ini terus bermutasi.

Related posts

Leave a Comment